Bantuan RM40,000 untuk Palestin selamat diterima

Iklan
Sukarelawan iReach menunjukkan bantuan makanan yang selamat tiba di lokasi perlindungan pelarian di Gaza City.

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada Khamis memaklumkan berita gembira bahawa sumbangan berjumlah RM40,000 kepada penduduk Palestin yang menderita akibat kekejaman Israel selamat diterima.

MAIK melalui kenyataan memberitahu, pihaknya dimaklumkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Relief and Humanitarian Outreach Malaysia (iReach), sumbangan makanan sedia makan selamat tiba kira-kira jam 5.45 pagi (waktu Malaysia) di lokasi perlindungan pelarian di Gaza City.

Iklan
Iklan

Kenyataan itu turut menyebut, sukarelawan iReach berkongsi situasi penduduk sudah sepuluh hari tidak makan dan minum akibat terputus bekalan makanan dan air bersih.

Dalam pada itu, kenyataan berkenaan menambah, atas dasar tanggungjawab serta perikemanusiaan, sumbangan disalurkan melalui iReach untuk disampaikan kepada penduduk Palestin.

Iklan

"Jarak tidak membataskan untuk kami berbakti. Walaupun mereka berada jauh di bumi Gaza tetapi sebagai saudara seagama, MAIK tetap usahakan untuk sama-sama membantu mereka di sana," kata kenyataan itu lagi.

Jelas MAIK, pihaknya bersimpati dengan penderitaan dilalui penduduk di Semenanjung Gaza yang diserang dengan bedilan peluru sehingga menyebabkan ribuan angka kematian.

Iklan

"MAIK turut mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin pada 13 Oktober lalu di seluruh masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim seluruh negeri Kelantan.

"Pada masa sama, kita mengadakan kutipan Derma Khas Untuk Palestin di masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim seluruh negeri pada hari sama bagi membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat Palestin," katanya.

Selain itu, ia sebagai lambang solidariti dan ihsan umat Islam susulan penindasan dan kekejaman berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel.

Sementara itu, Pengarah iReach, Johan Ariff mengucapkan terima kasih kepada MAIK yang sentiasa cakna dengan nasib rakyat di Palestin.

Menurut beliau, bantuan itu bukan kali pertama disalurkan kepada bumi Gaza sejak pergolakan berlaku di negara berkenaan.

"Penghantaran bantuan di Gaza kali ini menempuh pelbagai kesukaran termasuk ramai sukarelawan iReach yang pernah membantu turut terkorban.

"Rumah mereka juga musnah sama sekali dan ramai ahli keluarga meninggal dunia," katanya.