TEMERLOH - Pengusaha ikan sangkar di pesisir Sungai Pahang di sini melakukan pelbagai persediaan berdepan musim tengkujuh untuk mengelakkan kerugian lebih besar.
Selain mengosongkan sangkar mereka, pengusaha terlibat mengetatkan tali dan menggantikan tong rosak supaya sangkar mereka tidak mudah hanyut apabila dilanda banjir.
Seorang pengusaha, Khaidir Ahmad, 57, yang memiliki 50 sangkar di Kampung Lebak di sini berkata, beliau mengosongkan sangkar sejak November lalu.
Menurutnya, ia sebagai langkah berjaga-jaga kerana apabila arus deras ia tidak mudah hanyut.
"Saya akan mengisi balik benih ikan pada Januari nanti. Saya juga gantikan tali pengikat yang rosak," katanya.
Khaidir yang juga Pengerusi Persatuan Penternak dan Peniaga Ikan Sangkar Temerloh Pahang (PPPISTP) berkata, ketika kejadian banjir pada tahun 2014 dia mengalami kerugian lebih RM1 juta dan kejadian itu dijadikan iktibar untuk lebih bersiap sedia berdepan setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, buat masa ini bekalan ikan khususnya patin tidak terjejas walaupun pada musim tengkujuh kerana kebanyakan peniaga dan pemilik restoran telah membuat persediaan dengan bekalan stok masing-masing.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha, Mohd Syahir Hamka, 28, di Kampung Pangsenam berkata, dia juga telah melakukan persediaan sejak November lalu.
"Setakat ini tiada apa-apa yang berlaku. Buat masa ini, saya telah menggantikan tali dan melakukan pemeriksaan terhadap sangkar yang berpotensi rosak dengan mengalihkan terlebih dahulu supaya tidak hanyut.
"Selain itu ikatan tali ke pokok ditambahkan dari tiga pokok ke enam pokok supaya lebih kukuh selain bersihkan rumput-rumput sekitar kawasan tebing sungai," katanya.
Mohd Syahir yang memiliki 42 sangkar terdiri pelbagai jenis ikan iaitu patin, tilapia, kerai dan lampam sejak tahun 2006 turut mengakui banjir pada tahun 2014 turut menenggelamkan kawasan gerai jualan ikannya yang terletak berhampiran sangkar tersebut.