Malaysia mahu perkukuh hubungan, kerjasama dengan negara-negara Teluk

Iklan
Zambry

RIYADH - Malaysia akan mengambil peluang untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara Teluk pada Sidang Kemuncak sulung pemimpin ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang akan berlangsung di sini pada Jumaat.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ini termasuk memuktamadkan beberapa perjanjian perdagangan selain meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang khususnya hubungan multilateral, ekonomi dan keselamatan serantau.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang akan mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak itu, diberi penghormatan menyampaikan ucapan awal berikutan peranan negara sebagai Penyelaras ASEAN bagi sidang kemuncak itu.

"Sebagai Penyelaras ASEAN bagi Sidang Kemuncak yang mencatatkan sejarah ini, Malaysia diberi amanah untuk turut membantu persiapan Arab Saudi selaku tuan rumah,” kata Zambry pada sidang media di Kedutaan Besar Malaysia di sini Khamis.

Iklan

Sidang kemuncak itu diadakan buat julung kalinya sejak ASEAN dan GCC menjalinkan hubungan pada 1990. GCC dianggotai enam negara iaitu Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Zambry berkata, Perdana Menteri dijangka tiba pada jam 8 malam ini untuk lawatan kerja dua hari ke Riyadh, dengan jadual padatnya turut merangkumi pertemuan dengan ketua-ketua firma perniagaan, menghadiri pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin serta diaspora Malaysia esok.

Iklan

Anwar juga akan menghadap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada Sabtu selepas menerima jemputan peribadi daripada baginda sebelum ini.

Dari aspek ASEAN, Zambry berkata, negara-negara blok serantau itu yang secara keseluruhannya mempunyai 650 juta penduduk, pastinya mahu mendapatkan perhatian rantau Teluk dan dunia berikutan kedudukan geopolitiknya yang strategik dan dinamik.

"Justeru, sidang kemuncak ini amat penting dan diharapkan memberi hasil yang amat baik khususnya dalam aspek hubungan yang sudah sedia terjalin,” katanya.

Ketika ditanya mengenai isu di Semenanjung Gaza, beliau berkata, ia dijangka mendapat tumpuan pemimpin ASEAN dan GCC mengambil kira perkembangan semasa yang menyaksikan penduduk Palestin terus dizalimi rejim Zionis Israel.

Malaysia terus tegas dengan pendiriannya berhubung isu Palestin dan Perdana Menteri sendiri lantang dalam memperjuang nasib penduduk Palestin sejak Israel berterusan menzalimi mereka termasuk melancarkan serangan dalam krisis terbaharu di Semenanjung Gaza.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas iaitu pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang mengadakan sidang tergempar di Jeddah bagi membincangkan konflik Palestin-Israel itu, turut menggesa Israel supaya menghentikan segera serangan terhadap penduduk Palestin.

OIC juga mengesahkan semula sokongannya terhadap 'hak Palestin untuk mempertahankan diri dalam menghadapi serangan Israel yang menyasarkan nyawa, kesucian dan harta benda mereka'. - Bernama