KUALA LUMPUR - Seramai 170 anggota kastam dari Malaysia dan Indonesia terlibat dalam operasi Rondaan Kastam Terkoordinasi Indonesia-Malaysia (Patkor Kastima) bagi membendung kegiatan penyeludupan di perairan Selat Melaka, bermula Rabu sehingga 9 November ini.
Menerusi kenyataan bersama kastam Indonesia-Malaysia pada Khamis memaklumkan, operasi itu dipecahkan kepada lima sektor rondaan bermula di Kuala Perlis-Pulau Pinang hingga ke Pontian-Sungai Pulai bagi 70 pegawai kastam dari Malaysia dan 100 pegawai dari Indonesia akan melaksana operasi dari Acheh hingga Batam.
Operasi itu dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin bersama rakan sejawatnya Ketua Pengarah Kastam dan Eksais (DJBC) Indonesia, Askolani di perairan perbatasan Indonesia-Malaysia antara Perairan Pulau Kukup, Malaysia dan Perairan Pulau Karimun Anak, Indonesia, semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad; Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah; Timbalan Pengarah Kastam Johor, Shaharudin Abd Majid dan Penasihat Kedutaan (Kastam) Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Ahmad Talib.
"Dua negara membincangkan hala tuju operasi yang akan dilaksanakan dan usahasama baik ini amat penting bagi menjaga perairan sempadan negara daripada anasir penyeludupan. Penglibatan JKDM dan DJBC memberi impak lebih serius demi menjaga perairan negara dalam membanteras penyeludupan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Anis Rizana berkata, modus operandi penyeludupan kini adalah persekitaran tanpa sempadan serta strategi dan pendekatan lebih efektif perlu dilaksanakan berlandaskan prinsip penyelesaian secara global melalui kerjasama kukuh dan komitmen antara negara terbabit.
"Ini bukan sahaja memerlukan tindakan dan operasi bersepadu yang dikoordinasi di antara pentadbiran kastam kedua-dua negara, malah satu aspek penting iaitu perkongsian maklumat dan jaringan komunikasi utuh perlu direncana dalam menangani kegiatan penyeludupan khususnya di perairan Selat Melaka,” katanya. - Bernama