OKU rentung: Polis jumpa botol disyaki petrol

Iklan
OKU rentung selepas kenderaan Perodua Alza yang dipandu terbakar.

SUNGAI PETANI - Polis menemui bahan api disyaki petrol kira-kira 15 meter dari lokasi kebakaran kereta yang mengorbankan seorang orang kurang upaya (OKU) semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, hasil siasatan di tempat kejadian, pihaknya menjumpai botol disyaki berisi petrol dalam botol air mineral berdekatan lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan lanjut mengenai punca kejadian masih dijalankan membabitkan Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan laporan kebakaran dari pihak bomba.

"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat," katanya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: OKU rentung kereta terbakar

Semalam, pihaknya menerima maklumat pada jam 4.15 petang mengatakan sebuah kereta jenis Perodua Alza terbakar dan di dalamnya terdapat mangsa disyaki lelaki dan berstatus OKU dekat laluan Taman Seroja menghala ke Kolej Vokasional, Sungai Lalang.

Iklan

Mangsa dikenali Thiru Navukarasu, 39, dari Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, merupakan seorang kerani kilang yang memandu kenderaan yang telah diubah suai.

Menurut Shamsudin, pengecaman mayat mangsa disahkan adik mangsa yang berada di lokasi kejadian selepas dimaklumkan.

Difahamkan, kawasan kejadian jauh dari perumahan dan agak lengang dengan jarak lebih kurang 1.5 kilometer dari simpang lampu isyarat Kawasan Perindustrian Bukit Makmur.

Mangsa ditemukan terbakar oleh orang awam sekitar jam 3 petang yang kemudian menghubungi pihak bomba.

Adik mangsa memaklumkan abangnya merupakan seorang OKU dari paras pinggang ke bawah dan boleh memandu setelah membuat pengubahsuaian pemanduan menggunakan tangan.

Mangsa dipercayai sering melalui jalan tempat kejadian untuk balik ke rumah menggunakan jalan pintas.

"Semasa sampai di tempat kejadian, kita dapati mangsa telah rentung terbakar sepenuhnya di tempat duduk pemandu dalam keadaan terbaring.

"Setakat ini tidak dapat dipastikan punca kebakaran yang menyebabkan kematian mangsa," katanya.

Polis meminta bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian agar menyalurkan maklumat kepada Bilik Gerakan atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Setakat ini polis tidak dapat memastikan motif dan punca kebakaran sehingga laporan dari Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat dikeluarkan," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang OKU fizikal rentung selepas kenderaan dipandu terbakar ketika tiba di lokasi kejadian.