Mahkamah Pakistan benar Nawaz Sharif diikat jamin

Iklan
Nawaz Sharif

ISLAMABAD - Mahkamah Tinggi di Pakistan memutuskan supaya pihak berkuasa tidak menangkap bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif sekembalinya ke negara itu pada Sabtu, menjelang pilihan raya di republik itu.

Mahkamah di Islamabad itu memutuskan supaya Sharif hadir di hadapan hakim minggu depan untuk mendapatkan lanjutan jaminan sementaranya, kata peguamnya Azam Nazeer kepada pemberita di luar mahkamah.

Iklan
Iklan

Sharif, bekas perdana menteri tiga kali, dibebaskan dari penjara pada 2019 untuk mendapatkan rawatan perubatan di London selama enam minggu, namun beliau memilih untuk tidak kembali bagi melengkapkan baki tempoh hukumannya.

Sharif, salah seorang pemimpin paling popular di Pakistan yang kerap berlaku rampasan kuasa, disingkirkan ketika penggal ketiga pemerintahannya pada 2017 dan dipenjarakan selama tujuh tahun atas pelbagai pertuduhan rasuah setahun kemudian.

Iklan

Ketika Sharif kembali ke Pakistan, pengganti yang juga saingan politiknya Imran Khan, kini berada di penjara selepas disingkirkan daripada jawatan perdana menteri atas tuduhan rasuah.

Sharif dan Khan disingkirkan selepas mereka tidak disenangi oleh jeneral yang berkuasa di negara yang diperintah oleh tentera selama berdekad.

Iklan

Sharif, yang mengumumkan keputusannya untuk pulang ke negara asal pada September, berusaha untuk membatalkan hukuman ke atasnya bagi mengetuai partinya dalam pilihan raya yang dijadualkan pada Januari, menurut anak perempuannya Maryam Nawa. - Bernama