KUALA TERENGGANU - Aktiviti 'bekwoh' iaitu kenduri atau digelar di sesetengah tempat sebagai makan gulai kini tinggal kenangan memandangkan ia sudah jarang dijumpai di kebanyakan tempat termasuk di kawasan kampung.
Suasana gotong-royong ketika majlis perkahwinan dulu-dulu itu kini diterjemahkan dalam bentuk diorama menerusi pameran Dapur Mok Kite di Dewan Mandalika, Kompleks Muzium Negeri Terengganu bermula 16 Oktober hingga 31 Mac 2024.
Peminat seni diorama, Mohd Ihsan Mohd Saidi, 35, berkata, dia menerima tempahan untuk menghasilkan diorama bekwoh bersaiz 182 sentimeter (sm) panjang dan 60sm lebar untuk dipamerkan di muzium tersebut.
Menurutnya, sepanjang tujuh tahun lalu berkecimpung dalam penghasilan seni itu, diorama bekwoh antara yang mencabar kerana dia perlu membuat kajian dan mengimbau kembali kenangan lama sewaktu 'kerja kahwin' tersebut masih menjadi amalan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.
"Saya ambil masa selama tiga minggu untuk siapkan diorama ini. Kalau hari cuti saya dapat tumpukan perhatian penuh untuk hasilkan diorama ini dan saya akan sambung proses penghasilan selepas pulang kerja bergantung kepada keadaan.
"Kisah-kisah tu yang kita dah tak boleh tengok dah sebab ia melibatkan suasana antaranya gotong-royong untuk satu-satu majlis antaranya orang kampung datang bantu jiran sebelah rumah memasak dan membina bangsal daripada buluh dekat rumah pengantin," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohd Ihsan, diorama itu menggunakan percetakan 3D untuk menghasilkan objek yang lebih kemas dan realistik.
"Sekarang kita banyak dibantu dengan teknologi 3D printer sebab kita boleh design bentuk dan saiz yang kita nak kemudian kita print (cetak). Cuma proses mengecat ambil masa sedikit sebab objek kecil agak rumit.
"Untuk objek lain saya hasilkan dengan menggunakan bahan sedia ada misalnya untuk hasilkan pokok saya ambil dari bahan terbuang atau anak patung yang sudah tidak dipakai. Bagi pokok padi kita guna bahan kitar semula daripada penyapu dan kesan air pula saya guna resin polimer epoxy.
"Untuk bangsal kayu atau rumah saya memang guna kayu khas untuk buat replika dan kebanyakan saya pesan melalui platform jualan dalam talian,"katanya.
Bapa kepada empat anak itu turut merakam penghargaan kepada Lembaga Muzium Negeri Terengganu atas usaha mengembalikan semula nostalgia bekwoh dalam bentuk diorama.
"Usaha pihak muzium wajar dipuji kerana ia dapat memberi pengetahuan kepada golongan muda yang kini sudah tidak lagi dapat merasai kenangan kemeriahan bekwoh ini.
"Dengan adanya diorama ini, generasi sekarang boleh kenal dan tahu kaedah orang-orang dulu melakukan kenduri kahwin," katanya.
Hasil seni Moha Ihsan boleh dilihat secara lebih dekat menerusi TikTok (samsam376) dan Fecebook (Sam sam).
Selain diorama, turut dipamerkan sempena pameran Dapur Mok Kite ialah pelbagai makanan tradisional Terengganu.