HATI ibu bapa mana yang tidak luluh apabila anak yang dihantar dalam keadaan sihat kepada pengasuh, namun pulang dalam keadaan tidak bernyawa.
Dalam kes terbaharu, seorang bayi perempuan berusia dua bulan meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Seksyen 6, Kota Damansara di Selangor, pada Selasa minggu lalu, selepas mengalami sesak nafas.
Lebih menyedihkan, Qaseh Aulia Faizul baru dua hari dijaga pengasuh di taska terbabit dan kini anak bongsu daripada dua beradik itu sudah tiada buat selamanya.
Polis kemudian menahan seorang pengasuh bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan.
Wanita warga asing berusia lewat 40-an itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan.
Apa yang mengejutkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati taska terkenal terbabit tidak berdaftar, sekali gus melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Taska 1984 iaitu mengendalikan suatu taska tidak berdaftar.
Disebabkan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tindakan sita dilakukan bermula Isnin lalu selepas pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak berdaftar dengan JKM.
Di Bagan Serai, Perak pula, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Ayyash Aulian Muhammad Faizul dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat didera ketika dijaga anak jirannya pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff mendedahkan punca kematian adalah pendarahan di kepala akibat hentakan objek tumpul selain terdapat kecederaan seluruh badan, melecur akibat objek panas dan kecederaan pada lubang dubur.
Beliau memaklumkan, berikutan kematian kanak-kanak itu, pihaknya menahan tiga individu termasuk pasangan warga emas dan anak lelaki mereka.
Kematian Qaseh Aulia dan Ayyash Aulian nampak berbeza, namun ia melibatkan isu sama iaitu keselamatan kanak-kanak.Dua kejadian secara berturutan itu menunjukkan isu kecuaian, pengabaian dan penderaan ke atas bayi dan kanak-kanak oleh pengasuh ataupun taska bagaikan tiada berkesudahan hingga meragut nyawa insan tidak berdosa.
Meskipun media kerap melaporkan kes kematian bayi ataupun kanak-kanak akibat kecuaian, pengabaian dan penderaan, namun kejadian seumpama itu terus berlaku seolah-olah tiada rasa simpati oleh individu yang diamanahkan ibu bapa untuk menjaga anak mereka.
Setiap tahun, pasti ada sahaja berita dilaporkan media melibatkan keselamatan bayi dan kanak-kanak yang dilaporkan sama ada berlaku kematian ataupun kecederaan.
Ada berita berkaitan kecuaian, pengabaian ataupun penderaan bayi dan kanak-kanak ini yang ditulis rakan-rakan penulis, malah ada juga berita pernah ditulis penulis sendiri.
Penulis sendiri sudah cukup terkesan apabila membuat liputan kisah menimpa bayi ataupun kanak-kanak ini, bayangkan perasaan keluarga mereka terutamanya ibu bapa mangsa.
Kehilangan anak yang menjadi pelengkap keluarga secara tiba-tiba pastinya memberi kesan dan trauma kepada keluarga mangsa.
Sehubungan itu, golongan ibu bapa dinasihatkan menyelidik latar belakang pengasuh terlebih dahulu bagi memastikan individu terbabit mempunyai pengalaman.
Tidak dinafikan, ada pengasuh di rumah ataupun taska tidak berdaftar menawarkan kos lebih murah untuk meletakkan anak di bawah jagaaan mereka.
Ada juga memilih taska tertentu disebabkan jarak premis itu yang dekat rumah ataupun ada ibu bapa memilih meletakkan anak mereka di bawah jagaan individu tertentu disebabkan mengenalinya.
Bagaimanapun, seelok-eloknya ibu bapa menghantar anak mereka di taska berdaftar dengan JKM yang diyakini lebih terjamin dan selamat, malah tindakan mudah diambil sekiranya berlaku sebarang kecuaian, pengabaian ataupun penderaan.
Kisah Qaseh Aulia dan Ayyash Aulian bukan hanya memberikan keinsafan, malah sepatutnya menjadi iktibar kepada semua.
* Nurul Hidayah Hamid adalah wartawan Sinar Harian Kedah