KUALA TERENGGANU - Kebanyakan peniaga emas mengakui harga emas 916 naik mendadak sehingga mencecah paras RM300 bagi setiap satu gram sejak konflik antara Palestin dan Israel tercetus bermula 7 Oktober lalu.
Seorang peniaga, Tengku Muhamin Tengku Mahmud, 37, berkata, nilai logam berharga itu melonjak RM10 daripada kira-kira RM265 kepada RM275 segram sejak peperangan berlaku hampir dua minggu lalu.
"Hari ini harga emas 916 dijual di premis saya pada kadar RM279 segram selepas berlaku kenaikan sehingga RM10 dalam tempoh dua minggu lalu.
"Kita jangka sekiranya krisis perang ini masih berpanjangan, tidak mustahil harga emas akan mencecah sehingga lebih RM300 untuk setiap satu gram kerana ianya bergantung kepada kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan Rusia," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Payang, di sini pada Khamis.
Tengku Muhamin berkata, ramai pengusaha barangan kemas kini agak gusar kerana jualan sedikit suram disebabkan kekurangan pelanggan.
Bagaimanapun, katanya, tempoh kenaikan harga emas itu ditunggu-tunggu oleh mereka yang mempunyai koleksi barangan kemas untuk dijual atau ditukar (trade in).
"Sekiranya peperangan ini berakhir kita jangka harga emas akan kembali pulih, namun tak boleh jangka bila ia berlaku.
"Faktor ekonomi melibatkan kuasa beli pengguna juga mempengaruhi pembelian emas. Kadang-kadang harga tinggi pun masih ada yang beli, kalau murah lebih ramai pelanggan yang datang," ujarnya.
Sementara itu, Wahab Ali, 65, berkata, harga emas di Terengganu masih rendah berbanding di tempat lain menyebabkan peniaga tidak dapat mengaut keuntungan hasil jualan perhiasan itu.
Katanya, kebanyakan peniaga berdepan pembelian dengan modal yang tinggi menjualnya pada harga rendah dengan hanya mengenakan cas terhadap harga upah barangan itu.
"Harga kita beli emas pun dah RM290 lebih, macam mana kita nak jual murah dan tak ada untung. Untuk emas 916 harga modal sahaja RM280, sepatutnya jual RM300 dan emas 999 atau emas sepuluh pula sepatutnya dijual pada harga RM330, sama seperti di tempat lain.
"Kalau krisis perang makin panjang, mungkin harga akan melonjak lagi. Tapi kita belum pasti kenaikannya macam mana," katanya yang telah 30 tahun berkecimpung dalam perniagaan emas.
Menurut seorang jurujual, Dayana Natasha Muhammad Hisham, 25, harga emas melonjak RM15 daripada RM265 kepada RM280 selepas peperangan antara Israel dan Palestin tercetus.
Katanya, lonjakan harga itu menyebabkan ramai pelanggan mengambil peluang untuk menukar atau menjual barangan kemas mereka.
"Semuanya bergantung kepada faktor ekonomi. Sebab memang ada yang nak pakai duit jadi mereka tunggu harga emas tinggi untuk jual aset yang ada.
"Keadaan sebenarnya tak menentu juga Bila harga emas naik ada juga yang beli sebab mereka takut harga naik lagi. Berlaku juga keadaan bila harga emas turun tiada pula yang beli. Situasi tak menentu,"katanya.