KUALA LUMPUR - Warga asing dikesan menghuni beberapa unit 'penthouse' di sebuah kondominium di Jalan Munshi Abdullah, di sini dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), awal pagi Jumaat.
Serbuan pada jam 1 pagi itu turut dibantu JIM Kuala Lumpur, Perak, Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan.
Dalam serbuan terbabit, dua blok kondominium membabitkan 42 tingkat dan 37 tingkat telah diperiksa.
Agak memeranjatkan, beberapa unit 'penthouse' memuatkan warga asing yang mendakwa mereka merupakan pekerja restoran serta syarikat pelancongan yang menyewa sekitar RM500 hingga RM800 sebulan bergantung saiz bilik.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pemeriksaan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mendapati sekurangnya lapan penghuni berada di unit kondominium terbabit.
"Kita akan rujuk perkara ini kepada pemilik serta pihak pengurusan bangunan.
"Tindakan serbuan ini dibuat berikutan aduan awam yang bimbang dengan kebanjiran warga asing di kondominium ini," katanya kepada pemberita di lokasi operasi di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, serbuan ini telah menahan 136 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk enam wanita berusia lingkungan 20 hingga 70 tahun hasil pemeriksaan 3,016 warga asing.
Katanya, PATI yang ditahan terdiri daripada 33 Bangladesh, India (45), Indonesia (12), Nepal (4), Pakistan (41) dan seorang Thailand.
"Apa yang dikesan, kesalahan tinggal lebih masa adalah paling banyak dan kita akan lihat kesalahan lain yang berkaitan.
"Berdasarkan rekod kita, JIM pernah menyerbu kondominium ini pada tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu," ujarnya.