BIARPUN tewas 1-4 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah tetap berbangga dengan aksi ditunjukkan pemainnya.
Menurutnya, keberanian pemain muda memberikan tentangan sengit kepada JDT harus diberikan pujian walaupun mengetahui keupayaan pasukan lawan.
"Walaupun kami tewas, pemain kami berjuang. Kita berjuang bersungguh-sungguh dan tanpa memberikan laluan mudah walaupun keputusan memang memihak besar 4-1 kepada pihak lawan, saya kena salute kepada semua pemain yang telah memberikan segala-galanya kepada 21,000 penonton pada malam ini.
"Pemain yang kita ada hari ini memiliki kemampuan teknikal yang baik, cuma hormat yang terlalu tinggi buat lawan menyebabkan mereka (pemain Perak FC) nampak terlalu kerdil," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Perak FC dan JDT di Stadium Perak di Ipoh pada Khamis.
Dalam pada itu, Yusri amat terharu dengan sokongan diberikan penyokong dengan kehadiran tertinggi dicatat musim ini biarpun tidak dapat memenangi perlawanan.
Menurutnya, kehadiran penyokong yang begitu ramai merupakan impian utama bagi memberikan semangat kepada pemain berdepan paukan lawanan.
"Saya mengambil tanggungjawab kekalahan malam ini dan apa yang perlu kita lihat dari segi positifnya, kita cuba beraksi dengan cara yang terbuka dan bukan itulah alasan tetapi bagaimana pemain-pemain yang kita ada, kita mampu untuk beraksi dengan corak yang kita inginkan.
"Sudah pasti semua orang mahukan yang terbaik apabila beraksi di peringkat lebih tinggi. Sebenarnya impian saya semasa berada di Perak adalah untuk penyokong memenuhi stadium. Kita akan perbaiki kelemahan ini," katanya.
Pada perlawanan separuh akhir pertama semalam, Perak FC tewas di tangan JDT 1-4 di hadapan 21,613 penyokong yang hadir ke Stadium Perak.
Perak FC bakal bertanding sekali lagi ke JDT dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ismail, Larkin pada 2 November depan berbekalkan satu gol.