Anwar ketuai delegasi ke Arab Saudi, tingkat hubungan dua hala

Iklan
Anwar (dua dari kiri) selamat tiba di Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC). - Foto Bernama

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh, Arab Saudi pada 20 dan 21 Oktober ini.

Beliau diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir dan juga pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Iklan
Iklan

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, agenda utama lawatan selama dua hari itu bertujuan meneruskan perbincangan bagi mempertingkatkan hubungan dua hala, ekonomi dan kolaborasi dalam bidang peralihan tenaga serta mengenal pasti bidang kerjasama baharu.

"Lawatan ini juga akan memberi peluang bagi pemimpin kedua-dua negara bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya pada Jumaat.

Iklan

Wisma Putra turut memaklumkan, sebagai negara penyelaras bagi hubungan ASEAN-GCC, penyertaan Anwar dalam sidang kemuncak tersebut mempamerkan komitmen teguh Malaysia di peringkat tertinggi.

Tambahnya, perkara tersebut amat penting memandangkan Malaysia sebagai salah satu daripada lima negara pengasas ASEAN yang telah menjadi anggota bertanggungjawab dan proaktif sejak penubuhannya pada 1967.

Iklan

"Sejurus tamat sidang kemuncak tersebut, Anwar dijadual mengadakan lawatan rasmi ke negara tersebut atas jemputan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud,” ujarnya lagi.