SEKADAR mendapatkan izin wali, suami atau keluarga sahaja tidak mencukupi andai seseorang wanita itu mahu mengembara secara solo, tidak kiralah sama ada mereka bujang atau sudah berumah tangga.
Demikian tegas pendakwah Ustazah Nor Zahirah Mohd Johari atau lebih dikenali sebagai Da’i Zahirah.
Beliau menjelaskan, terdapat syarat lain yang perlu dipenuhi oleh kaum Hawa untuk membolehkannya melakukan perjalanan jauh ke serata dunia.
"Meminta izin wali atau suami itu hanyalah satu syarat sahaja,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Da’i Zahirah menjelaskan, wanita yang mahu melancong secara bersendirian itu mestilah memastikan dirinya dalam keadaan aman dan selamat.
"Bukan sahaja dari sudut agama, tetapi juga maruahnya dan saat dia bermusafir, sama ada dalam perjalanan pergi atau balik. Pendek kata, dia kena jaga diri, agama dan maruahnya.
"Satu lagi, wanita berkenaan berkelana bukan ke tempat-tempat yang membawa kepada fitnah ataupun memberi mudarat kepada dirinya.
"Melihat semua syarat berkenaan, dinasihatkan supaya kaum Hawa yang ingin bermusafir bersendirian supaya sentiasa menjaga maruah dan adab agar terpelihara daripada segala panahan fitnah dan tohmahan demi menjamin kelangsungan hidup, ketenangan diri, keluarga serta masyarakat,” terangnya panjang lebar.
"Sekalipun wanita bersuami mempunyai komitmen lain, ia bukanlah bermaksud dirinya langsung tidak boleh berkelana. Semuanya bergantung kepada persepakatan termasuk antara suami dan isteri.”
Elak undang fitnah
Kepada mereka yang gemar merantau, Da’i Zahirah menitipkan pesanan agar menutup aurat dengan sempurna.
Peringatan itu diberikan kerana ada sebilangan orang berpakaian elok apabila bersama masyarakat setempat, tetapi apabila mengembara, lain pula gayanya.
"Apabila melancong pula, ada yang buka semua (tidak menutup aurat). Tidak boleh begitu, kerana ALLAH SWT melihat setiap inci perkara yang dilakukan.
"Pastikan menutup aurat dengan sepenuhnya supaya kita tidak mengundang fitnah mahupun panahannya daripada segala penjuru.
"Satu lagi, pastikan kelengkapan-kelengkapan wanita dari segi rohani dan jasmani mencukupi untuk menjaga diri, nama, keluarga, masyarakat, negara dan agama,” katanya.
Keperluan mendesak
Bolehkah wanita melakukan perjalanan solo untuk tujuan misi kemanusiaan?
Sinar Islam Plus bertanyakan soalan tersebut kepada Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.
Jelas beliau, terdapat tuntutan-tuntutan tertentu yang perlu dipenuhi untuk berbuat demikian iaitu antaranya wujud keperluan mendesak.
"Perjalanan itu mesti ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai atau ahli keluarga lain. Ini kerana keamanan dalam perjalanan adalah sangat penting.
"Seperkara lagi, pengembaraan tersebut adalah perjalanan yang tidak terlalu jauh dan rumit dari segi pengurusan dan pentadbiran. Tujuannya bagi memastikan wanita terlibat dapat menguruskan diri mereka dengan baik.
"Kepada wanita yang terlibat dalam misi kemanusiaan, suka saya ingatkan agar menjaga kehidupan masing-masing selaras dengan nilai-nilai syariat. Tunaikanlah solat, berpuasa dan amalan agama lain walaupun dalam keadaan perjalanan,” pesannya.