SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Muktamar Tahunan Pas Kali ke-69 diharapkan menjadi medan paling sesuai untuk para perwakilan menampilkan perbahasan berkualiti, muhasabah, kritikan dan ‘post-moterm’ sekaligus menonjolkan input-input bernas serta tuntas.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia bagi membina, merancang proses dan mengisi kemenangan sama ada sebagai pembangkang konstruktif di Parlimen atau kerajaan di empat buah negeri.
Iklan
Iklan
"Dalam pada itu, saya yakin kita Perikatan Nasional (PN) juga perlu bekerja lebih kuat malah sentiasa bersedia untuk mengambil alih kerajaan pusat dalam tempoh terdekat, memandangkan kepimpinan kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) terus gagal menangani isu-isu yang memberlenggu masyarakat dan negara.
"Mereka sebenarnya kerajaan gagal, mereka ‘won’t walk the talk’ (cakap tidak serupa bikin), itu lah hakikat kerajaan yang ada pada hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan dalam Muktamar Tahunan Pas Kali ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Jumaat.
Sementara itu, ujar Takiyuddin, majlis kali ini merupakan muktamar pertama pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022, diikuti dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK).
Menurutnya, pilihan raya berkenaan menyaksikan PN berjaya memenangi 74 kerusi di peringkat Parlimen manakala meraih 208 kerusi bagi Dewan Undang Negeri (DUN) iaitu 46.8 peratus merangkumi semua negeri di Malaysia.
"Alhamdulillah melalui mandat rakyat yang memberikan kemenangan kepada kita di peringkat Parlimen dan DUN, kita berjaya menerajui empat Kerajaan Negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu walaupun kita dinafikan hak sebagai Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, ulasnya, muktamar pada kali ini turut dijadikan platform untuk menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin yang terkesan akibat perbuatan rejim Israel.
"Di saat kita bermuktamar kali ini juga, tidak lengkap jika saya tidak menyebutkan sepintas lalu, bahawa sejak dua minggu berlalu buat kesekian kalinya dunia dipertontonkan dengan konflik kemanusiaan berterusan dan paling zalim di abad ini khususnya di bumi sahabat kita di Palestin.
"Kezaliman, pembunuhan dan penjajahan, semuanya manifestasi daripada warisan buruk era kolonialisme kuasa Barat di negara-negara yang pernah dijajahnya suatu ketika dahulu.
"Justeru, Muktamar pada hari ini dengan penuh keinsafan dan kesedaran bersolidariti bersama rakyat Palestin mengutuk keras perbuatan dan tindakan jenayah zalim rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin, serta dasar dan tindakan kuasa-kuasa Barat lain yang turut sama mempertahankan dan menyokong rejim berkenaan,” jelasnya.
Artikel Berkaitan