MELAKA - Selepas tujuh hari bertarung nyawa, seorang pelajar sekolah menengah yang lemas di Pantai Mutiara Kem Terendak di sini, petang Jumaat lalu meninggal dunia pada Khamis malam.
Mangsa, Lukhman Aliff Mokhtar, 16, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka pada jam 8 malam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang merupakan anak kepada anggota polis Banda Hilir disahkan meninggal dunia kerana mengalami 'brain death' akibat kekurangan oksigen.
Menurutnya, remaja berkenaan dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut dengan menaiki ambulans Kem Terendak pada hari kejadian dan sepanjang rawatan mangsa mendapat bantuan pernafasan.
ARTIKEL BERKAITAN:Pelajar lelaki ditemukan lemas ketika mandi laut
ARTIKEL BERKAITAN:Rupanya ambil cuti untuk uruskan jenazah anak
"Doktor bertugas dari wad ICU Dahlia mengesahkan bahawa arwah telah tiada pada 19 Oktober, jam 8 malam," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Sinar Harian pada 13 Oktober lalu melaporkan rakan mangsa, Faris Darwisy Mohd Faizal,16, ditemukan lemas di Pantai Mutiara, Kem Terendak.
Dalam kejadian jam 6 petang, mereka pergi ke pantai berkenaan bersama rakan dan guru untuk meraikan hari terakhir dua guru pelatih yang mengajar mereka.