SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, Pas adalah satu jasad perjuangan Islam di seluruh pelosok dunia, maka parti itu akan terus memberi perhatian terhadap masalah Palestin yang belum bebas.
Menurutnya, Pas yang membawa risalah Islam sejagat, tidak berpisah daripada semua isu dalam dunia kini sama ada di peringkat nasional atau dunia antarabangsa.
Ia termasuk melibatkan aspek ekonomi, pendidikan, sehinggalah alam sekitar yang mengancam kehidupan manusia kerana meninggalkan Islam yang sempurna.
"Peranan Islam menjadi penyelamat perlu dikembalikan bagi menghadapi kegagalan agama, ideologi politik, teori ekonomi, pendidikan dan sosial.
Walaupun umat Islam difitnah dengan Islamofobia, namun ternyata kekebalan ajarannya tidak boleh dipadamkan.
Maka, tegakkanlah Islam di mana bumi tempat kita berpijak.
"Pas akan terus memberikan perhatian terhadap masalah umat Islam yang ditindas di seluruh penjuru dunia dan campur tangan asing di banyak negara umat Islam di Afrika dan Asia.
"Pas akan meletakkan keutamaan untuk menjadi penggerak bagi mengangkat agenda penyatuan ummah di Rantau Asia Tenggara dan dunia Islam," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-69 di IDCC di sini, pada Jumaat.
Mengulas mengenai Palestin, Abdul Hadi berkata, Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) yang telah melancarkan operasi Taufan al-Aqsa, merupakan salah satu daripada hari-hari ALLAH SWT yang membuktikan kebenaran firmanNya apabila benteng pertahanan negara haram Israel berjaya ditembusi.
Katanya, kejadian itu berlaku walaupun rejim Zionis Israel berasa angkuh dengan slogan 'tenteranya tidak mungkin dikalahkan' disebabkan bantuan negara kuasa besar yang bertali arus tanpa menghiraukan undang-undang perang antarabangsa.
"Mereka lupa bahawa di sana, ada janji ALLAH yang benar.
Operasi Taufan al-Aqsa memberikan peringatan kepada pemimpin negara Arab dan Islam yang bersikap menyerah kalah dengan menerima cadangan normalisasi dan penyelesaian dua negara yang menjadi permainan Zionis dan sekutunya.
"Maka umat Islam wajib bersatu bersama Palestin bagi menghadapi kaum Yahudi yang sebenarnya pengecut," katanya
Tambah Abdul Hadi, dalam urusan dasar luar negara, Malaysia disarankan terus mengambil sikap tegas dan berani, serta tidak memihak kepada kuasa besar dan terus menjuarai isu-isu negara umat Islam supaya Malaysia disegani oleh rakan di mata dunia.
"Letakkan keutamaan kerjasama serantau daripada kalangan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), kerjasama negara- negara Islam (OIC) dan negara-negara berkecuali (NAM) terlebih dahulu. Namun, hubungan dengan semua negara tidak diputuskan, mengikut kebijaksanaan agar tidak terikat dan sangat bergantung dengan kuasa besar dunia," katanya.