KBS lantik 11 Ahli Lembaga Pemegang Amanah Impact baharu

Iklan
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

SHAH ALAM - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Jumaat mengumumkan pelantikan seramai 11 orang Ahli Lembaga Pemegang Amanah Impact Integrated (Impact) yang baharu.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, individu yang dilantik telah melalui proses pemilihan teliti dan dipilih berdasarkan pengalaman luas serta kepakaran mereka dalam sektor masing-masing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka diyakini mampu mencetuskan impak positif kepada pembangunan Impact sebagai agensi pemangkin strategik di bawah KBS.

"Penambahan seramai 11 orang ahli baharu menjadikan jumlah anggota keseluruhan Lembaga Pemegang Amanah Impact Integrated sebanyak 13 orang.

Iklan

"Saya menyasarkan hala tuju Impact dalam pengurusan program dan inisiatif berdaya mampan, mengamalkan tata kelola yang cekap dan telus, serta dapat memberi perkhidmatan yang profesional serta efisien kepada rakyat dan komuniti terutamanya belia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ahli baharu yang dilantik itu adalah Pengarah Urusan AEON Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed sebagai pengerusi; Ketua Setiausaha KBS, Dr K. Nagulendran; Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Izzat Afifi; Ketua Pegawai Eksekutif, Bintang Capital Partners, Johan Rozali-Wathooth; Pengarah Strategi Korporat, Maybank Global Banking, Leon Koay.

Iklan

Turut dilantik, Pengarah Pemimpin Global School Leaders (GSL), Samuel Isaiah; Pengasas Earth Heir, Sasibai Kimis; Pengasas Wiki Impact, Deborah Chan; Pegawai Kanan J. Kuldeep Kumar & Co, Athari Bahardin; Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Collective, John-Son Oei dan Ketua Pegawai Eksekutif Courtsite, Samuel Siew.

Tambah Hannah Yeoh, lantikan baharu itu akan menyertai ahli lembaga sedia ada terdiri daripada Pengarah Urusan Metamorfosa Sdn Bhd ,Kudsia Kahar serta Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Kementerian Kewangan, Norhidayati Zakaria.

Jelasnya, Impact Integrated adalah sebuah agensi pemangkin strategik di bawah kawal selia KBS yang mempunyai tiga fokus utama iaitu belia, sukan elektronik, dan media merentasi beberapa jenama seperti Impact Malaysia, Rakita 107.9, Esports Integrated, Spacerubix, Picksum dan mySukan TV.

"Dengan kekuatan seramai 60 orang kakitangan, pasukan Impact dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmed Faris Amir sejak syarikat tersebut dijenamakan semula pada tahun 2019,” ujarnya.