KNNPP cadang wujudkan harga siling yuran taska, tadika swasta

Iklan
KNNPP mencadangkan kerajaan mewujudkan harga siling bagi yuran taska dan tadika swasta di negara ini. Gambar kecil: Azdy

GEORGE TOWN - Keilmuan Nasional Negeri Pulau Pinang (KNNPP) mencadangkan kerajaan mewujudkan harga siling antara RM400 ke RM600 bagi yuran pendaftaran dan RM150 ke RM300 bagi yuran bulanan untuk seluruh taska dan tadika swasta di negara ini.

Pengerusi KNNPP, Azdy Mohd Arshad berkata, untuk jangka masa panjang, KNNPP juga berharap kerajaan dapat mewujudkan lebih banyak tadika milik kerajaan seperti Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Tadika Perpaduan di setiap kawasan perumahan selain mewujudkan kelas prasekolah di setiap sekolah rendah.

Iklan
Iklan

Kata beliau, sejak kebelakangan ini, KNNPP menerima banyak aduan dan rungutan ibu bapa berkaitan tindakan pihak pengusaha taska dan tadika swasta yang mengenakan yuran pendaftaran serta yuran bulanan yang sangat tinggi, tidak munasabah dan membebankan mereka.

"Berdasarkan tinjauan dan kajian yang dibuat, ada sesetengah taska mengenakan yuran pendaftaran sehingga mencecah RM2,500 dan yuran bulanan untuk sesi separuh hari (pagi hingga tengah hari) sebanyak RM400.

Iklan

"Tindakan mengenakan yuran pendaftaran yang terlalu tinggi ini sangat membebankan ibu bapa dan mereka yang berpendapatan rendah serta sederhana khususnya bagi golongan B40 dan M40," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Azdy menambah, KNNPP juga mendapati kebanyakan pasangan suami isteri pada zaman ini bekerja dan mereka tiada pilihan melainkan menghantar anak ke taska dan tadika swasta berdekatan kawasan perumahan atau tempat kerja mereka.

Iklan

"KNNPP sangat kesal dengan sikap pengusaha taska dan tadika swasta yang mengambil kesempatan dengan mengenakan yuran pendaftaran serta yuran bulanan yang sangat tinggi dan tidak masuk akal.

"Mereka seolah-olah mengambil kesempatan ke atas ibu bapa yang terdesak dan tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menghantar anak-anak mereka ke taska dan tadika," katanya.

Tambah beliau, setiap permulaan sesi persekolahan, ibu bapa terpaksa memperuntukkan sekurang-kurangnya RM2,000 hingga RM2,500 hanya untuk seorang anak yang bersekolah tadika.

"Bayangkan jika pasangan tersebut mempunyai lebih daripada seorang anak yang perlu dihantar ke taska atau tadika. Sudah pasti ribuan ringgit terpaksa disediakan hanya untuk menghantar anak mereka itu.

"Apa yang lebih dikesali, jumlah wang tersebut jauh lebih tinggi berbanding menghantar anak masuk ke sekolah berasrama penuh atau ke pusat pengajian tinggi.

"Jumlah ini belum lagi termasuk yuran bulanan, bayaran untuk majlis-majlis atau program yang diadakan oleh pihak taska, duit pengangkutan dan lain-lain lagi," katanya.

Azdy berkata, KNNPP sangat berharap kerajaan khususnya kementerian yang berkaitan melihat isu ini sebagai satu isu yang serius dan mengambil tindakan drastik bagi meringankan beban rakyat.

"Di saat rakyat diasak dengan kenaikan harga barang yang mencanak, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menyebabkan bayaran pinjaman khususnya rumah dan kenderaan meningkat, pengurangan subsidi dan kenaikan cukai yang bakal membebankan rakyat, kita mohon kerajaan lakukan sesuatu.

"Jika kerajaan mewujudkan harga siling bagi yuran pendaftaran dan yuran bulanan, ia diharap dapat meringankan bebanan ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana dalam memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

"KNNPP sangat berharap kerajaan meletakkan kepentingan rakyat serta hak anak-anak dalam mendapatkan pelajaran awal sebagai salah satu keutamaan dalam agenda membela nasib rakyat dan bukannya menjaga tembolok segelintir pengusaha taska dan tadika yang mencekik darah rakyat," katanya.