Perak, China kukuh kerjasama terokai teknologi industri mineral

Iklan
Saarani (tengah) ketika mengetuai lawatan delegasi melawat kilang pengasingan unsur nadir bumi, China Rare Earth Group Co Ltd (CREG).

IPOH - Kerajaan Perak memperkukuh kerjasama dengan China bagi membuka lebih banyak peluang menerokai teknologi industri mineral untuk dimanfaatkan di negeri ini.

Perkara itu antara intipati yang ditekankan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang sedang dalam rangka lawatan mengetuai delegasi ke China sejak 15 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Pejabat Menteri Besar Perak dalam kenyataannya memaklumkan, lawatan delegasi yang tiba di Kota Nanning pada Khamis telah dibawa melawat kilang pengasingan unsur nadir bumi, China Rare Earth Group Co Ltd (CREG).

Lawatan ke bandar raya yang terkenal dengan gelaran ‘Kota Hijau’ itu sebagai usaha mengukuhkan hubungan bilateral Malaysia-China selain memenuhi jemputan CREG yang diutuskan kepada kerajaan negeri Perak, September lalu.

Iklan

Dalam lawatan itu, delegasi diberikan penerangan berkaitan pemuliharaan tapak selepas pengekstrakan unsur nadir bumi oleh Pengarah Urusan CREG (Guangxi), Zhang Xinguang.

"Selain meneroka potensi pelaburan, lawatan itu bertujuan meninjau teknologi terkini industri mineral negara itu yang boleh dimanfaatkan oleh Perak sebagai negeri yang berpotensi menjadi hab pembangunan industri tersebut di Malaysia.

Iklan

"Lawatan ini juga membolehkan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) selaku penggerak utama industri mineral di Perak dapat mengukuhkan hubungan strategik penggunaan teknologi khususnya dalam pengekstrakan unsur nadir bumi secara selamat dan bertanggungjawab," kata kenyataan itu.

Kenyataan sama berkata, lawatan kerja ini amat signifikan memandangkan Perak berjaya menjalankan projek perintis perlombongan Lantanida di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak.

Katanya, projek berkenaan telah memberi pulangan hasil kira-kira RM16 juta dalam bentuk royalti kepada kerajaan negeri setakat Julai lalu.

"Hubungan baik yang terjalin membolehkan usaha berterusan dilakukan bagi menambah baik strategi pembangunan industri mineral setelah terbukti berjaya melalui penggunaan teknik In-situ Leaching (ISL) iaitu kaedah yang paling selamat, mesra alam dan mampan bagi perlombongan Lantanida," katanya.

Turut sama dalam lawatan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin.