Harga kawalan maksimum benih padi sah diselaras serta-merta

Iklan
Mohamad Sabu - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Harga kawalan maksimum baharu bagi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) diselaraskan berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dengan langkah itu harga di pintu gudang syarikat pengeluar benih padi sah (BPS) diselaras daripada RM31 kepada RM40 per kampit 20 kilogram.

Iklan
Iklan

"Di peringkat peruncit pula ia diselaras daripada RM35 kepada RM45 per kampit 20 kilogram," katanya menerusi sidang akhbar khas di Wisma Tani pada Jumaat.

Menurutnya, penyelarasan tersebut dibuat mengambil kira pelbagai faktor dan tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kewangan.

Iklan

"Ia juga tidak merubah struktur pengeluaran, pembekalan dan pengedaran BPS sedia ada melibatkan 12 syarikat pengeluar 13 syarikat pemborong dan 456 peruncit di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, melalui penyelarasan harga baharu itu akan menggalakkan penggunaan BPS yang bermutu tinggi dan rintang penyakit di kalangan para pesawah di samping mengelakkan penggunaan benih padi tidak sah atau benih kampit putih di pasaran.

Iklan

"Ketersediaan dan harga benih yang munasabah bagi pesawah semestinya menjadi fokus utama kerajaan bagi memastikan keseimbangan ekosistem industri padi dan beras negara dalam tempoh jangka panjang," jelasnya.

Selaras dengan pembentangan Belanjawan 2024 pada13 Oktober lalu, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,300 per tan metrik.

Mohamad berkata, peningkatan tersebut dijangka akan memberi impak kepada harga padi terutamanya padi benih, iaitu padi yang ditanam untuk dijadikan sebagai benih.

"Kementerian menjangkakan kenaikan harga padi benih ini akan menyebabkan kos pengeluaran benih padi termasuk IBPS akan turut meningkat dan tidak dapat dijual dengan harga kawalan maksimum sedia ada," katanya.

Jelas beliau, kementerian cakna dengan rungutan para pesawah di lapangan iaitu berkaitan kesukaran mendapatkan BPS di pasaran selain peningkatan mencecah RM50.

Terdahulu media melaporkan ramai pesawah di Kedah merungut sukar mendapatkan benih padi sah dan pada harga berpatutan bagi memulakan proses menanam padi pada hujung bulan ini.

Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Che Ani Mat Zain, mendakwa benih itu masih tiada dijual di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berikutan bekalan dari kilang belum diperoleh.