PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedia memberi kerjasama susulan isu rasuah berkaitan tuntutan subsidi ayam dan telur.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau mengambil maklum berhubung kes tersebut dan akan melakukan siasatan dalam.
"Maklumat penuh berkenaan kes itu belum diperoleh," katanya menerusi sidang akhbar khas di Wisma Tani pada Jumaat.
Ditanya mengenai tempoh prosedur proses tuntutan subsidi tersebut, Mohamad enggan mengulas lanjut.
"Kes sedang disiasat, jadi biarlah ia selesai," katanya sambil memaklumkan satu sidang akhbar berkaitan ayam dan telur diadakan pada 30 Oktober ini.
Terdahulu SPRM menahan presiden persatuan berkaitan penternakan selepas dipercayai memberi suapan RM17,000 kepada pegawai di sebuah kementerian.
Suapan itu didakwa bagi mempercepatkan bayaran tuntutan subsidi ayam dan telur berjumlah RM600 juta sejak Mei lalu.