ALOR SETAR - Akhbar Sinar Harian mengukir sejarah apabila buat julung kali berkolaborasi bersama Darulaman Media Event dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi penganjuran Fun Walk Mai Singgah Alor Setar 2024.
Ketua Pemasaran & Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, Sinar Harian berbesar hati dengan kerjasama berkenaan memandangkan akhbar itu mempunyai pengikut yang ramai di utara Semenanjung khususnya Kedah.
Katanya, pada penganjuran fun walk itu juga Sinar Harian akan membuka reruai untuk dikunjungi orang ramai.
"Selain dapat beramah mesra dengan pengikut setia kita di Kedah, pengunjung juga boleh mendapatkan hadiah istimewa di reruai berkenaan.
"Secara jujurnya, Sinar Harian sangat teruja dengan kolaborasi ini dan terima kasih kepada penganjur kerana memilih Sinar Harian sebagai media rasmi mereka," katanya.
Sementara itu, Pegawai Pelancongan Sukan dan Kebudayaan MBAS, Siti Nurfazlina Abd Tafarudin berkata, program terbabit akan diadakan pada 23 Disember depan dengan tagline 'Mai Singgah Alor Setar' yang dipilih sendiri oleh Datuk Bandar Alor Setar, Mohd Yusri Md Daud.
"Ia adalah pendekatan supaya orang ramai dalam dan luar negeri termasuk pelancong mai singgah tempat-tempat menarik di Alor Setar sama ada bermalam atau singgah sekejap," katanya.
Ujar Siti Nurfazlina, terdapat jejak pejalan kaki 'Alor Setar Heritage Trail' yang telah disediakan sejauh empat kilometer melalui 41 lokasi menarik dan bersejarah di sekitar Alor Setar.
"Antara laluan berkenaan adalah, Trail Jejak Di Raja, Trail Jejak Nostalgia Alor Setar, Trail Jejak Di Sini Bermulanya Alor Setar dan akhir sekali Trail Jejak Pelancongan: Jejak Sejarah atau ikonik Alor Setar.
"Kita menyasarkan penyertaan fun walk ini kira-kira 1,000 orang termasuk dalam kalangan pelancong luar," katanya.
Menyentuh mengenai pemilihan Sinar Harian sebagai media rasmi beliau berkata, pemilihan itu dibuat kerana Sinar Harian merupakan akhbar yang menjadi pilihan orang ramai bagi mendapatkan berita- berita terkini dan menarik di Utara.