MB Selangor arah perketat kawalan di lokasi tercemar

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengetatkan pemantauan di lokasi pembuangan sisa kimia di Bandar Bukit Mahkota yang menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kelmarin.

Amirudin berkata, laluan ke lokasi itu perlu ditutup atau dihadkan selain dipasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi menghalang aktiviti sama berulang.

Iklan
Iklan

"Ia susulan kejadian yang menyebabkan pencemaran air September lalu turut berlaku di lokasi berdekatan.

"Pelaku dikesan membuang sisa pada saluran Indah Water Konsortium (IWK) hingga menyebabkan henti tugas LRA Sungai Semenyih dilakukan," katanya.

Iklan

Mengulas lanjut katanya, gangguan bekalan air disebabkan pencemaran tidak mencatatkan angka tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Sebenarnya isu penutupan loji disebabkan pencemaran tidaklah terlalu banyak berbanding tahun-tahun sebelumnya, tahun ini jumlahnya sekitar empat hingga lima kali sahaja.

Iklan

"Namun, itu bukan alasan untuk culas sebaliknya kerajaan negeri baru menyiapkan pelan atasi pencemaran yang dijangka dilaksanakan tahun depan," katanya.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan henti tugas LRA Semenyih dan LRA Bukit Tampoi mengakibatkan 366 kawasan dan 336,930 jumlah akaun terjejas di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan siasatan mendapati kejadian tersebut disebabkan pembuangan sisa kimia berjadual seperti minyak berwarna hitam dan bahan industri yang berbau di Bandar Bukit Mahkota.