ISTAF terima kembali PSM

Iklan
Abdul Halim. - Foto Bernama

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) diterima semula sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) berkuat kuasa 15 Julai lalu.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader optimis, 'kepulangan' PSM ke pangkuan ISTAF akan melonjakkan lagi sukan takraw negara di persada dunia.

Iklan
Iklan

"Perbincangan untuk membawa PSM kembali adalah begitu genting sekali kerana adalah menjadi harapan saya semoga kita dapat bekerjasama dan dapat merapatkan lagi silaturahim antara rakan-rakan anggota majlis tertinggi PSM bersama ISTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

"Penerimaan kembali PSM ke ISTAF tidak ada apa-apa syarat yang dikenakan tetapi kesemua badan-badan yang menjadi anggota ISTAF dibawa masuk harus mengikut undang-undang perlembagaan ISTAF, itu sahaja yang harus dipatuhi,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, ASTAF menyingkirkan PSM pada Mei 2021 kerana melanggar perjanjian bertulis mengkritik badan itu secara terang-terangan disusuli pengguguran keahlian oleh ISTAF, Februari tahun lepas.

Sementara itu, Abdul Halim memaklumkan, pihaknya bersedia melantik Datuk Mohd Sumali Reduan sebagai Naib Presiden 1 ISTAF bagi mengisi kekosongan ditinggalkan bekas Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF) Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Iklan

Abdul Halim yang mengadakan pertemuan tertutup dengan Mohd Sumali pada Khamis mengakui kepakaran serta pengalaman luas dimiliki Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu akan memperkukuhkan lagi kedudukan ISTAF.

"Kemasukan Mohd Sumali sudah tentu menguatkan lagi pentadbiran ISTAF dan saya percaya banyak lagi usaha yang akan dimajukan terutamanya dari segi pembangunan, rancangan dan pertandingan di peringkat serantau dan antarabangsa yang akan melonjak dengan begitu laju sekali,” katanya.

Suhaili mengosongkan jawatannya sebagai Naib Presiden 1 badan induk sepak takraw dunia itu selepas MASTAF yang sebelum ini merupakan badan induk sukan sepak takraw negara dibubarkan Disember tahun lepas. - Bernama