KUALA LUMPUR -"Saya mimpi berada di Palestin dan saksikan sendiri kekejaman tentera Zionis," kata individu yang hanya mahu dikenali sebagai Adnan, 25.
Menurutnya, dia kerap mengalami mimpi sama sejak beberapa hari ini.
"Mungkin apa yang saya alami itu disebabkan terlalu mengikuti secara rapat berkaitan isu kekejaman Israel terhadap masyarakat Palestin dan sampai terbawa-bawa dalam mimpi," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Himpunan Solidariti Demi Gaza dan Palestin anjuran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Jalan Tun Razak, dekat sini pada Jumaat.
Adnan berkata, dia sanggup datang dari Perak untuk menghadiri himpunan ini semata-mata mahu menyatakan perasaan cinta dan kasih terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang penjajah Israel.
"Saya dapat tahu tentang himpunan ini sejak kelmarin, walaupun saya tinggal jauh, namun itu semua tak jadi alasan untuk saya bersama-sama berkumpul nyatakan solidariti terhadap apa yang berlaku di Palestin.
"Biarpun jasad saya berada di sini, namun jiwa dan hati saya ada di Palestin. Setiap kali solat saya doakan agar kedamaian segera terpancar di sana dan kekejaman Israel dapat segera dihentikan," katanya.
Himpunan Solidariti Demi Gaza dan Palestin anjuran beberapa NGO dihadiri hampir 200 individu itu diadakan di Jalan Tun Razak, dekat sini pada Jumaat.
Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas ahli politik terkemuka, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua serta aktivis sosial, Hishamuddin Rais.