TANJUNG MALIM - Niat murni tiga perwakilan Muslimat Pas membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila mereka maut dirempuh sebuah kereta di kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Behrang di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang itu, Fatihah Nabila Bukri, 23, dan Taibah Sulaiman, 61, maut di tempat kejadian manakala Nurul Najihah Amzi, 27, meninggal dunia di Hospital Slim River semasa menerima rawatan.
Kejadian berlaku semasa ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas mengikuti Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang berlangsung di Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Mualim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, kejadian bermula apabila sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton hilang kawalan dan berpusing sebelum terbalik ke longkang kiri jalan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kereta jenis Toyota Fortuner dinaiki tiga mangsa bersama sebuah Perodua Myvi dan dua motosikal berhenti di lorong kecemasan untuk memberikan bantuan.
"Dalam tempoh lima minit kemudian, datang sebuah kereta jenis Toyota Altis dari lorong kanan hilang kawalan dan melanggar enam mangsa di hadapannya menyebabkan semua mereka terhumban ke dalam longkang di kiri jalan.
"Impak pelanggaran mengakibatkan tiga mangsa meninggal dunia sementara mangsa lain mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa maut merupakan ahli Muslimat Pas Sungai Petani masing-masing jawatan sebagai guru Pasti dan Ketua Unit Khas Wanita Muda, Ketua Muslimat Pas dan Setiausaha Pas.
"Semua mangsa telah dihantar ke Hospital Slim River bagi proses bedah siasat," katanya.
Sementara itu, Mohd Hasni berkata, penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda EX5 masing-masing berusia 42 dan 46 tahun mengalami luka-luka di anggota badan.
Katanya, pemandu Perodua Myvi berusia 31 tahun mengalami kecederaan di kepala manakala pemandu Mitsubishi Triton berusia 39 tahun terselamat dalam kejadian itu.
"Lelaki yang memandu Toyota Altis berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.