NSL 2023: Terengganu Marvels raih kemenangan kedua

Iklan
Arirak (dua dari kiri) menjadi nadi penting buat Marvels menewaskan Tulips 59-31 dalam saingan NSL di Bukit Kiara pada Jumaat. Foto NSL 2023.

TERENGGANU Marvels meneruskan momentum positif dalam saingan Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 apabila melakar kemenangan kedua setelah membenam Pahang Tulips 59-31 di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Jumaat.

Kemenangan tersebut menyuntik semangat pemain untuk menggugat tujuh lagi pasukan, biarpun Marvels merupakan pendatang baharu bagi NSL edisi ketiga kali ini.

Iklan
Iklan

Jurulatih Marvels, Siti Nor Farhana Mustafa mengandingkan goal shooter (GS) dari Thailand, Arirak Ampharat dan goal attack (GA), Sirima Samnaree bagi menggempur kubu Tulips untuk mengutip 14-7 mata pada suku pertama.

Memasuki suku kedua, kemaraan Marvels seakan sukar disekat Tulips yang mempertaruhkan Nur Afrina Sahira Sham sebagai goal keeper (GK) dan Nur Lailatullahadhawiyah Che Yahaya yang bertindak selaku goal defend (GD).

Iklan

Marvels tampak lebih garang apabila melebarkan jurang jaringan kepada 17-7 dengan dua penyerang turut berubah apabila Nurul Ellisa Hannah Saiful Bhahari dimasukkan mengisi posisi Arirak, manakala Siti Aminah Ahmad bertindak sebagai GA menggantikan Sirima.

Kerancakan aksi derby Pantai Timur itu bagaimanapun terhenti seketika pada suku ketiga setelah air menitis ke gelanggang ekoran hujan lebat di sekitar Lembah Klang.

Iklan

Petugas kemudian meletakkan pita pelekat bagi memastikan lantai gelanggang berada dalam keadaan baik sebelum aksi disambung semula dengan kelebihan terus berpihak Marvels menerusi 15 gol berbalas 6.

Tulips cuba bangkit menerusi pasangan GS, Nurain Humaira Shaharuddin dan GA, Noor Syazwani Shoberi pada suku keempat, namun jaringan 11-13 belum cukup buat mereka memadam kemenangan Marvels 59-31.

Pengurus Marvels, Wan Sarimah Wan Razak gembira dengan kemenangan itu kerana ia mampu meningkatkan motivasi pemain untuk mengharungi baki saingan NSL musim ini.

"Alhamdulillah, syukur dengan kemenangan ini. Percaturan jurulatih menjadi. Marvels membuat penggiliran dan semua 15 pemain sudah beraksi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Dalam saingan minggu pertama, Marvels mempamerkan rentak positif apabila menang satu daripada dua perlawanan apabila membenam Negeri Sembilan Venom 63-26, namun terpaksa akur tewas 42-47 kepada Perak Phoenix.

Marvels bakal membuat perhitungan dengan satu lagi pasukan baharu, Putrajaya Dynamites di venue sama pada Sabtu dan aksi mencabar buat mereka apabila akan menentang juara bertahan, Johor Jewels pada Ahad.