Dua rakan maut digilis kereta

Iklan
Mangsa yang menunggang motosikal maut di lokasi kejadian selepas digilis kereta.

KUALA KRAI - Dua rakan maut apabila motosikal yang dinaiki dirempuh lalu digilis kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 76.5, Jalan Kota Bharu - Gua Musang berhampiran Kampung Pahi di sini semalam.

Mangsa, pemandu motosikal jenis Honda C100, Muhammad Nazhan Muhamad Rafi, 16, dan pembonceng, Khairul Nizam Mohd Rosli, 19, masing-masing beralamat di Kampung Belanga di sini meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.50 malam itu melibatkan motosikal dan kenderaan jenis Toyota Yaris.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati motosikal terbabit dari Kampung Belanga menuju ke Kampung Pahi.

Iklan

"Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Toyota Yaris dari arah bertentangan memasuki laluan motosikal lalu bertembung dengan mangsa.

"Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua mangsa terpelanting ke atas jalan dan digilis kenderaan lain.

Iklan

"Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan patah kedua-dua belah kaki," katanya.

Suzaimi berkata, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk tindakan lanjut.

"Pemandu kereta, Lone Kai Neng, 30, mengalami retak tulang tangan kiri dan kanan manakala tiga penumpang, Fong Mei Chyi, 27, Fionna Wee Swan Jean, Lor Kar Mei, 27, cedera ringan.

"Siasatan masih lagi dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.