SHAH ALAM - Bapa kepada Nurul Ain Haron, 37, memohon kerajaan agar membantu mengeluarkan anaknya itu yang kini berada di Semenanjung Gaza dengan kadar segera.
Haron Hamim, 65, berkata, ia susulan tiada sebarang makluman mengenai perancangan untuk mengeluarkan Nurul Ain dari negara bergolak tersebut semasa kunjungannya ke Wisma Putra pada Rabu lalu.
"Wisma Putra hanya minta maklumat keluarga dan akan maklumkan kepada saya atau ahli keluarga kalau ada perkara yang berlaku tetapi apabila ditanya mengenai perancangan, mereka tidak boleh berkata apa-apa lagi.
"Mungkin mereka ada perancangan atau rahsia sendiri yang tidak diberitahu kepada saya dengan keadaan pintu Rafah yang masih ditutup. Memang susah untuk keluarkan dia (Nurul Ain) tetapi dengan kuasa ALLAH, siapa tahu.
"Semua ini urusan ALLAH untuk tentukan hidup atau mati. Namun, sebagai seorang ayah, saya menanti-nantikan kepulangannya dan yakin dengan nawaitu (niat), ALLAH akan bantu serta dia akan pulang ke pangkuan keluarga,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut Haron, dia dan ahli keluarga sering berhubung antara satu sama lain untuk bertanyakan khabar dan mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi di Gaza.
"Saya sering telefon dengan dia (Nurul Ain) pada waktu petang dan malam (waktu tempatan). Itu pun nasib juga. Kadang-kadang sepanjang hari tak dapat hubungi kerana susah nak dapat.
"Dia juga ada beritahu kepada saya, seramai 14 orang ahli keluarga sebelah suaminya telah pun syahid dalam peperangan itu.
"Saya merayu kepada rakyat Malaysia untuk doakan keselamatan Nurul Ain dan seluruh warga Palestin yang ditindas. Saya harap mereka selamat,” ujarnya.
Nurul Ain yang tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama suaminya, Mohamed Adnan Shaat, 33, sebelum ini dilaporkan berada di Gaza kerana bercuti.
Beliau sempat berkongsi video keadaan yang perit di Gaza.
Dalam video berdurasi lebih seminit itu, Nurul menunjukkan keadaan penduduk Gaza yang terputus bekalan air dan elektrik, terpaksa mencari sumber lain demi kelangsungan hidup mereka di wilayah terkepung itu.