ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) Kedah menzahirkan kesedihan yang mendalam atas tragedi yang meragut nyawa tiga pemimpin Dewan Muslimat Pas Kawasan Sungai Petani pada Jumaat.
Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan pemergian ketiga-tiga Allahyarhamah dipandang mulia kerana kehilangan nyawa ketika sedang melakukan amal membantu kesusahan insan lain yang kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan.
"Meskipun pemergian mereka dalam tragedi yang begitu menyayat hati, saya dengan penuh keyakinan mengharapkan agar roh kesemua mangsa dicucuri rahmat dan ihsan daripada ALLAH SWT,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang Jumaat, niat murni tiga perwakilan Muslimat Pas membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila mereka maut dirempuh sebuah kereta di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Behrang.
Ketua Ameerah Kawasan Sungai Petani, Allahyarhamah Fatihah Nabila Bukri, 23, dan Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, maut di tempat kejadian.
Sementara Penolong Setiausaha Dewan Muslimat Pas Kawasan Sungai Petani, Nur Najihah Amzi, 27, meninggal dunia di Hospital Slim River semasa menerima rawatan.
Kejadian berlaku semasa ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas mengikuti Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang berlangsung di Shah Alam.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mengharapkan agar roh ketiga tiga Allahyarhamah ditempatkan bersama para syuhada dan diangkat sebagai pejuang agama dan kebajikan.
"Moga mereka diberikan setinggi-tinggi ganjaran daripada ALLAH SWT.
"Kepada keluarga mangsa, saudara-mara serta sahabat handai, tabahlah menghadapi pemergian ini yang kita sendiri akan susuli.
"Dengan rasa sedih dan kehilangan, mari kita sama-sama mendoakan,” ujarnya.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya turut menzahirkan dukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa.
"Mereka pergi pada hari Jumaat yang mulia, difahamkan mereka keluar dari kereta untuk bantu sebuah kereta lain yang mengalami kemalangan. Inilah ketentuan ALLAH SWT.
"Pas Kedah mendoakan agar ketiga-tiga Allahyarhamah ditempatkan bersama para syudaha dan diganjari segala amal kebajikan yang dicurahkan.
"Semoga ahli keluarga mangsa tabah menerima takdir qada dan qadar ini,” katanya.