Kadir dakwa Johari di belakang tabir rombakan media

Iklan
Johari
BUAT beberapa waktu, saya menahan diri daripada menulis mengenai watak UMNO ini dan tindak-tanduknya walaupun kami telah bertukar-tukar mesej melalui WhatsApp.

Daripada bahas kecil WhatsApp itu, saya sudah memperoleh cukup bahan dan butir untuk melakarkan sesuatu tetapi tidak melakukannya.

Saya mahu memberi ruang kepadanya untuk mengotakan apa yang dia kata walaupun saya sedar bahawa dari awal lagi dia cuba menggula-gulakan saya dengan merendahkan diri, bercakap tentang pengorbanan dan altruisme.

Iklan
Iklan

Tetapi apabila dia dilaporkan mengkritik dan menyalahkan kerajaan secara terbuka di media massa, saya terpaksa bertindak.

Watak yang saya maksudkan itu ialah Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bekas Menteri Kewangan II zaman pemerintahan kleptokrasi Mohd Najib Abdul Razak.

Iklan

Dia kalah pilihan raya umum 2018 kepada Pakatan Harapan tetapi masih menjadi ahli Majlis Tinggi UMNO dan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Dalam laporan portal berita bebas Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 21 Disember yang memetik akhbar ekonomi The Edge Weekly, Johari, antara lain, menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di atas tiga perkara yang kononnya menyebabkan ekonomi negara tertekan.

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan perkembangan terkini operasi Media Prima Berhad.

Pertama, peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang katanya menyebabkan ketidakpastian dalam pasaran modal.

"Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berumur 94 tahun, dan orang ramai tidak tahu siapa ketua seterusnya. Orang yang dikatakan perdana menteri menanti, Anwar Ibrahim pun tak pasti,” katanya.

Johari berselindung di sebalik alasan pasaran modal untuk memburukkan kerajaan PH supaya dia boleh menangguk di air keruh.

Kita pun tahu banyak pemimpin UMNO berangan-angan kembali berkuasa melalui pintu belakang dengan memecahbelahkan PH.

Kedua, Johari mendakwa wujud ketidaktentuan dasar, misalnya mengenai konsesi lebuh raya yang mungkin menyebabkan hutang kerajaan meningkat. Ini, katanya, tidak selari dengan agenda kerajaan mengurangkan hutang.

Soalnya siapakah yang menyebabkan kerajaan berhutang dengan begitu banyak kalau bukan bosnya Najib dan dia sendiri?

Ketiga, proses membuat keputusan yang tidak jelas. Dia dipetik sebagai berkata bahawa maklum balas yang diterimanya daripada masyarakat perniagaan menunjukkan mereka keliru mengenai siapa yang membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan.

"Adakah menteri hal ehwal ekonomi, menteri kewangan, Pejabat Perdana Menteri atau Majlis Penasihat Kerajaan (CEP)?” tanya Johari.

Johari Vs CEP

Isu ketiga ini mendedahkan tujuan sebenar Johari iaitu ketidakpuasan hatinya dengan cara kerajaan PH membuat keputusan melalui konsensus.

Boleh jadi Johari tidak selesa dengan proses konsensus kerana di bawah Barisan Nasional (BN) semua kuasa di tangan Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Atau (saya ulang, atau) kerana Johari kini dipercayai terlibat dengan beberapa urusan dan percubaan pengambilanalih korporat yang melibatkan syarikat dan agensi berkaikan kerajaan?

Maklumat yang saya peroleh menjurus ke arah meletakkan Johari sebagai pemain belakang tabir yang penting dalam beberapa urusan besar korporat.

Antaranya penjualan saham UMNO dalam Media Prima Berhad, rombakan aset melibatkan Felda dan FGV, tawaran"membeli” UEM Sunrise Berhad dan penyusunan semula pemilikan sebuah hotel mewah di Langkawi.

Dia dikatakan mempunyai peranan besar dalam penyusunan semula perniagaan Media Prima di mana dia bertindak sebagai pakar pemulihan (turnaround expert).

Beberapa orang wartawan Media Prima mengesahkan bahawa ada dalam kalangan mereka telah dipanggil berbincang dengan Johari mengenai masa depan dan halatuju kumpulan itu termasuklah pengecilan bilangan kakitangan.

Semua hal yang saya sebut ini sudah pun dibincangkan dengan meluas oleh media ekonomi dan portal-portal berita bebas tetapi kurang dalam media arus perdana, khususnya media bahasa Melayu.

Siapa Johari?

Sepanjang mengenai Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang dipengerusikan oleh Tun Daim Zainuddin, tempoh tugasnya hanya 100 hari dan dibubarkan sebaik saja laporan penyiasatannya diserahkan kepada kerajaan tahun lalu.

Tetapi adakah satu kesalahan kalau Perdana Menteri atau kerajaan terus mendapatkan nasihat daripada bekas anggota CEP?

Saya hendak tanya, siapakah Johari berbanding Daim, Robert Kuok Hock Nien, Tan Sri Hassan Merican, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Profesor Jomo Kwame Sundaram?

Saya tidak ada masalah dengan mana-mana pakar dan pengurus"turnaround” (atau yang mengaku pakar) mempamerkan kehebatan mereka tetapi janganlah perkecilkan kepakaran dan sumbangan orang lain, terutamanya yang berkhidmat secara sukarela.

Saya tidak sekat sesiapa pun mencari nama dan komisen. Cuma tolong beringat-ingat bahawa kerana tamak haloba 'commission agents' inilah maka hari ini negara dan rakyat jelata terbeban dengan skandal 1MDB, SRC International, Felda/FGV, Tabung Haji dan banyak lagi.

Maaflah kalau saya kata, saya terbaca nama Johari yang disebut senada dengan Najib dalam laporan audit mengenai paksaan ke atas Felda supaya membeli saham Eagle High Plantations milik Peter Sondakh dengan harga berganda lebih tinggi daripada harga pasaran.

Saya tidak gembira menulis tentang Johari kerana saya mengenalinya lama dalam kapasitinya sebagai"backroom boy” kepada beberapa orang kenalan dunia korporat, sama ada masih hidup atau telah mati, khususnya dari kumpulan KFC.

Tetapi apabila beliau mengkritik kerajaan secara terbuka saya terpaksa membalasnya.

Wallahuaklam.

A KADIR JASIN ialah penasihat media perdana menteri dan seorang bloger. Tulisan ini asalnya disiarkan di blog beliau dengan tajuk"Muslihat Di Sebalik Kritikan Johari Terhadap Kerajaan."

Pandangan disiarkan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Sinar Harian.