KUMPULAN EMKAY yang terkenal sebagai pemain industri hartanah meraikan ulang tahun penubuhan ke-40 menerusi sambutan yang diadakan di Mercu Mustapha Kamal di Damansara Perdana pada Jumaat.
Syarikat diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar pada 1983 itu telah berjaya membina projek perumahan dan bangunan komersial termasuk di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh, Bukit Merah, Taman Bunga Raya serta Cyberjaya.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY, Datuk Fazwinna Mustapha Kamal berkata, pihaknya menghargai komitmen warga kerja syarikat yang bersama dalam berdepan pelbagai cabaran termasuk pandemik Covid-19.
"Saya melihat ketabahan dan kegigihan bapa saya untuk membangunkan syarikat hingga berjaya ke tahap ini.
"Terbinanya syarikat ini juga disebabkan peranan ibu saya yang bertanggungjawab memberikan motivasi untuk terus membangunkan Kumpulan EMKAY," katanya pada ucapan perasmian sempena ulang tahun ke-40 Kumpulan EMKAY.
Menurutnya, Kumpulan EMKAY telah berjaya membina lebih 60,000 rumah kategori mampu milik serta berkelas tinggi (high end) selain 10 juta kaki persegi unit komersial dan ruang pejabat serta enam resort.
"Kami berbangga dengan pencapaian ini. Sambutan ulang tahun ke-40 ini membawa kegembiraan kepada komuniti yang telah memiliki hartanah terbaik.
"Kami juga komited untuk meneruskan pembangunan berkualiti dan mampan bertepatan dengan kehendak pelanggan kami," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EMKAY, D Jayasangaran berkata, sejak 2007 syarikat berkenaan telah membangunkan projek dengan anggaran jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.2 bilion yang menumpukan kawasan Selangor termasuk Cyberjaya dan Damansara Perdana selain Pulau Banding, Perak.
"Syarikat kini di fasa melaksanakan projek baharu The Vybe Soho@Techzone di Cyberjaya dengan GDV melebihi RM155.35 juta.
"Projek akan datang pula ialah pelancaran fasa tiga The Mulia Residences (mid-rise apartmen) selain projek pembangunan bercampur yang akan diumumkan kelak," katanya.