PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) komited meningkatkan mutu pegawai perlawanan tempatan apabila menghantar enam pengadil muda negara berguru di Dammam, Arab Saudi bermula esok hingga 27 Oktober ini.
Mereka ialah pengadil Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman, Mohamad Kamil Zakaria Ismail dan Muhammad Munir Mohd Izam serta penolong pengadil Kesava Raj S Neelamagan dan Mohd Shafiq Ahmad Said.
Inisiatif itu menyaksikan kesemua mereka akan menjalani kursus tambahan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan latihan praktikal selari dengan misi Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahukan lebih ramai pengadil menimba ilmu di luar negara.
"Semoga ilmu yang diperoleh di Arab Saudi ini dapat memberi manfaat kepada tugasan mereka terutama dalam memartabatkan lagi mutu pengadilan bola sepak negara,” katanya dalam hantaran di Facebook FAM pada Sabtu.
Menurut hantaran itu, pemilihan dibuat berdasarkan prestasi dan komitmen yang baik dalam Liga Malaysia (Liga-M) serta sepanjang latihan VAR di negara ini sekali gus dilihat berpotensi melebarkan sayap ke persada lebih tinggi.
FAM juga memaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM merangkap timbalan presiden badan induk itu Datuk S.Sivasundaram turut menyokong usaha berkenaan dengan menyatakan pihaknya akan terus memastikan lebih ramai pengadil muda diberi latihan dan pendedahan di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, FAM berharap lebih ramai dapat mengikut jejak langkah pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin dan dua pembantunya, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid yang akan bertugas di Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.
FAM juga ketika ini sedang rancak menjalankan latihan VAR bagi 40 pengadil sebagai persediaan menghadapi Liga M 2024/2025. - Bernama