ANKARA - Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman pada Jumaat mengulangi bantahan negaranya terhadap pemindahan secara paksa penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.
Semasa mengadakan panggilan telefon dengan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, baginda menggalakkan agar pelbagai usaha dibuat untuk meredakan situasi di Gaza dan memastikan keganasan tidak merebak, lapor Agensi Anadolu (AA).
Baginda turut menggesa kepungan ke atas Gaza di tarik balik bagi membolehkan bantuan perubatan dan bantuan lain dapat disalurkan.
Sementara itu, pejabat Trudeau dalam satu kenyataan berkata kedua-dua pemimpin berkenaan membincangkan situasi di Gaza serta implikasi keselamatan serantau akibat konflik berkenaan.
Kedua-dua pemimpin menyuarakan kebimbangan mengenai kesan kemanusiaan dan menekankan kepentingan semua pihak untuk melindungi orang awam serta memastikan akses kemanusiaan ke kawasan terjejas.
Trudeau turut mengulangi sokongan Kanada terhadap penyelesaian dua negara dan hak untuk hidup dengan aman dan selamat. - Bernama