[VIDEO] 'Wajah Nurul Najihah bersih, arwah berbakti hingga akhir hayat' - Ibu

Iklan

ALOR SETAR - Allahyarhamah Nurul Najihah Amzi terus menabur bakti hingga akhir hayatnya apabila cuba memberi bantuan kepada insan memerlukan sebelum maut dalam nahas jalan raya kira-kira jam 2.18 petang di Kilometer 390, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, Nurul Najihah yang juga Penolong Setiausaha Dewan Muslimat Pas Kawasan Sungai Petani bersama Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dan Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Fatihah Nabilah Bukri, 23 meninggal dunia ketika sedang melakukan amal membantu insan lain yang kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Iklan
Iklan

Ibu mangsa, Mashitah Shafie,54, berkata, anak sulung dari lima adik beradik itu bersama rakan-rakannya dipercayai dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas mengikuti Muktamar Tahunan Pas ke-69 di Shah Alam.

Ibu mangsa, Mashitah Shafie menunjukkan gambar arwah Najihah (kiri) ketika menghadiri sebuah program bersama dua adiknya baru-baru ini.

"Salah seorang rakan anak memaklumkan, mereka nampak sebuah kereta terlibat kemalangan dan dalam keadaan berasap, lalu mereka menghubungi pihak berkuasa.

Iklan

"Selepas itu, anak dan dua rakannya turun dari kereta untuk melihat keadaan mangsa dan memberi bantuan sebelum mereka dirempuh sebuah kenderaan lain," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Alor Melong, Derga, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, mereka sekeluarga terutamanya adik bongsunya, Siti Aisyah, 13, sedih dengan kehilangan Nurul Najihah secara tiba-tiba namun reda dengan pemergiannya secara mulia pada hari Jumaat itu.

Iklan

Mashitah berkata, dia sendiri mengambil peluang memandikan jenazah anak perempuannya bersama beberapa ahli Muslimat lain.

"Ketika memandikan Nurul Najihah, saya lihat jenazah anak sulung saya dalam keadaan baik dengan hanya luka di kening dan dagu serta lebam di bahagian belakang," katanya.

Menurutnya, jenazah dalam keadaan baik dan muka arwah Nurul Najihah yang mesra dengan panggilan kakak dan Kasih dalam keadaan bersih dan tiada kecederaan luar yang serius.

Sementara itu, bapanya, Amzi Ishak, 55, berkata, dia tidak menyangka permintaan anak perempuannya untuk dikebumikan di kampung halaman menjadi petanda anak tercinta itu akan pergi untuk selama-lamanya.

Bapa mangsa, Amzi Ishak.

Amzi berkata, anak sulungnya yang menyuarakan hasrat itu secara tiba-tiba kepada isterinya ketika mereka berjumpa kira-kira tiga bulan lepas.

"Ada perubahan, dia cakap dengan umi dia. Jikalau dia meninggal dunia, dia mahukan jenazah dikebumikan di sini (kampung halaman). Itu adalah permintaannya.

"Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan (urusan pengebumian jenazah). Saya dapat tahu selepas solat Jumaat, ibu dia menangis (tiba-tiba) mesti ada sebab," katanya.

Menurutnya, Nurul Najihah sememangnya aktif melakukan kerja amal dan kebajikan, malah suka membantu orang pada bila-bila masa sahaja.

Sebelum itu, jenazah Nurul Najihah dikebumikan selepas subuh di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan,Derga.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan niat murni tiga perwakilan Muslimat Pas membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila mereka maut dirempuh sebuah kereta di kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Behrang, Perak.

Dalam kejadian itu, Fatihah Nabila dan Taibah maut di tempat kejadian manakala Nurul Najihah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Slim River semasa menerima rawatan.