KOTA BHARU - Pihak pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sudah menemui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi menyelesaikan masalah 'air merah' yang berlaku di universiti itu.
Rektor UITM Cawangan Kelantan, Prof Abdol Samad Nawi berkata, isu sejak lebih tiga tahun lalu itu membelenggu warga UiTM serta pelajar selepas kecurian kabel.
Menurut beliau, hasil kunjung hormat ke AKSB, pihaknya dimaklumkan antara masalah besar tidak dapat membekalkan air bersih apabila kabel bernilai kira-kira RM3 juta dicuri.
"Pemprosesan air tidak dapat dilakukan di loji rawatan menyebabkan air yang dibekalkan kurang bersih dan mengandungi magnesium serta berwarna merah," katanya kepada pemberita selepas Mini Karnival Statistik Sempena Perayaan Hari Statistik Sedunia di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kelantan, Fariza Mohamed Sani dan Pengarah Projek Prof Madya Dr Wan Fairos Wan Yaacob.
Abdol Samad turut memaklumkan, AKSB bercadang membekalkan penapis air di luar UiTM tetapi kosnya antara RM300,000 hingga RM400,000.
Tambah beliau, pengambilan air di bawah tanah mengakibatkan terlalu banyak magnesium dan situasi itu sebenarnya tidak dijangka.
"Bagaimanapun, kami sangat berharap perkara ini dapat diselesaikan segera berikutan ada aduan pelajar yang mengalami masalah kulit akibat magnesium," katanya.
Jelas beliau lagi, pusat pengajian tinggi itu juga mempunyai tangki air besar yang boleh dimanfaatkan kira-kira 5,000 warganya selama empat hingga lima hari jika berlaku masalah air.
"Kami tidak dimaklumkan sehingga bila masalah ini dapat diselesaikan berikutan kos pembelian peralatan sangat tinggi," katanya.
Justeru, sebagai usaha mengurangkan masalah itu, pihak UiTM katanya, mengambil inisiatif membeli 60 unit penapis air berkualiti dengan kos RM400,000.
Katanya, ia bukan penyelesaian mutlak kerana penapis air hanya untuk minum sahaja dan pelajar yang mengalami kulit sensitif terpaksa membeli air untuk mandi.
"AKSB juga perlu faham bahawa kita merupakan pengguna terbesar di Machang," katanya.