SHAH ALAM - Kerajaan perlu meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,700 per tan, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata, peningkatan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2024, tidak mencukupi.
"Pertama sekali terima kasih sebab naik juga RM100 (per tan) tapi tak mencukupi.
"Kalau (naikkan kepada) RM1,700 apa salahnya?
"Baru-baru ni masa berebut-rebut (beras) mereka beli RM1,700 (per tan) boleh pula," katanya kepada pemberita ditemui ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di sini pada Sabtu.
Menerusi Belanjawan 2024 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan demi membantu pendapatan pesawah.
Anwar berkata, langkah tersebut dibuat susulan rungutan pesawah padi yang berhadapan dengan masalah jualan padi apabila harga belian oleh pengilang telah diturunkan kepada tahap minimum RM1,200 per tan.
Sedangkan sebelum ini harga belian oleh pengilang jauh lebih tinggi dan kerajaan juga telah menetapkan harga lantai pada RM1,200 sejak tahun 2014 lagi.
Dalam pada itu, Sanusi tidak bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani agar kerajaan mengapungkan harga beras putih tempatan (BPT) tanpa menyekat harga dengan harga siling RM2.60 setiap kilogram.
"Tak boleh (apung harga beras), sebab harga barang kawalan," katanya.
Johari sebelum ini mencadangkan perkara itu kerana berpandangan dengan melepaskan harga kawalan kepada pasaran akan membantu menstabilkan semula bekalan BPT dalam pasaran untuk tempoh jangka pendek dan sederhana.