KOTA BHARU - Sejumlah 98 peratus pesakit kanser payudara di Kelantan dikesan lambat mendapatkan rawatan di hospital kerana dipercayai lebih memilih rawatan alternatif.
Keadaan itu menyukarkan rawatan dilakukan kerana penyakit mencapai tahap kronik, empat dan lima.
Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, kajian menunjukkan kelewatan mendapatkan rawatan antara punca utama kadar kelangsungan hidup pesakit kanser di Malaysia rendah.
Menurut beliau, pesakit sebenarnya menyedari bahawa ada ketulan pada payudara mereka namun memilih ikhtiar bomoh selain mempercayai mitos.
"Apabila ketumbuhan itu tidak menyakitkan, mereka tak datang ke hospital. Melainkan terlalu sakit, dia datanglah.
"Mereka mendapatkan khidmat bomoh atau ambil air tawar. Jadi ini akan melengahkan rawatan dan ada juga percaya mitos benda tajam seperti jarum akan menyebabkan kanser ataupun penyakit itu tersebar, ini adalah karut,” katanya selepas Program Pink Walk 2023 di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini, pada Sabtu.
Program diadakan sempena Bulan Kanser Payudara yang diraikan pada Oktober setiap tahun dan sambutan ke-6 tahun ini bertemakan 'Your Fight is Our Fight'.
Turut hadir, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merasmikan majlis dan berjalan kaki bersama 1,000 peserta sejauh empat kilometer.
Dalam pada itu, Dr Imi Sairi berkata, mengikut kajian Malaysian Study on Cancer Survival (MyScan), kanser payudara menjadi kanser paling banyak dilaporkan pada 2021.
Menurutnya, kajian juga mendapati secara purata kadar kelangsungan hidup di Malaysia selepas lima tahun disahkan kanser payudara ialah 62 peratus dan lebih rendah berbanding Korea Selatan serta Singapura dengan kadar 80 peratus.
"Kadar kelangsungan hidup pesakit juga bergantung pada tahap ketika diagnosis penyakit itu iaitu tahap satu ialah 87.5 peratus manakala tahap empat sebanyak 23.3 peratus.
"Kes kanser payudara yang dilaporkan di HRPZ II semakin meningkat pada setiap tahun. Misalnya tahun 2020, sebanyak 160 kes kanser payudara direkodkan dan meningkat kepada 197 kes pada tahun 2022,” katanya.