SHAH ALAM - Penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat kepada empat kerajaan negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) atau 'State-Government 4' (SG4) telah memberi nilai tambah khususnya terhadap ekonomi.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bekas Perdana Menteri itu telah melakukan banyak penglibatan dan sesi libat urus serta berjaya membawa masuk pelaburan ke negeri yang terlibat.
Menurutnya, Dr Mahathir juga telah memainkan peranan aktif dalam bertemu pelabur terutamanya dari Jepun, Korea dan China.
"Saya difahamkan selepas ini ada dari Timur Tengah pula, malah sudah ada pun pelabur-pelabur yang menghubungi kita seperti dari China.
"Kita sedar, setiap negeri tidak sama kedudukan geografi dan keupayaan masing-masing, jadi kita saling bantu-membantu.
"Pada saya, ini adalah salah satu nilai tambah dalam proses sedia ada, selain kerjasama antara kerajaan Pusat dan negeri.
"Bagi memperkukuhkan kerjasama empat negeri ini, kita telah memfokuskan kepada lima kluster yang mana kerajaan negeri boleh bekerjasama iaitu infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan perniagaan; pertanian dan sekuriti makanan; perundangan dan modal insan serta sumber dan pendapatan baharu,” katanya dalam sidang akhbar sempena Muktamar Pas Ke-69 di Ideal Convention Center (IDCC) di sini pada Sabtu.
Naib Presiden Pas itu menambah, kerjasama SG4 dengan kerajaan Persekutuan masih lagi berterusan dan tidak timbul isu ia akan berhenti kerana itu adalah nilai serta inspirasi dalam Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah katanya, mereka tidak mahu menyaingi sesiapa sebaliknya ingin bekerjasama dengan semua pihak.
"Perkara yang kita tak boleh nafikan adalah, apa juga blok atau kerjasama yang wujud, ia tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan. Ada bahagian kuasa kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan secara bersama.
"Kami masih bergantung di situ, sebagaimana yang ada dalam Perlembagaan. Kami tidak pernah nak merombak apa yang telah dipersetujui.
"Bila saya kata pelabur luar, mereka mencari pelbagai cara untuk berkomunikasi dengan kerajaan negeri.
"Ada juga yang melalui kerajaan Pusat melalui misi pelaburan oleh menteri dan saya sendiri selalu bincang dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz),” jelasnya.
Ahmad Samsuri secara berseloroh turut menyatakan kesediaan untuk mendengar nasihat, pandangan dan cadangan daripada sesiapa sahaja, termasuklah daripada veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.