KOTA TINGGI - Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berjaya memadam kebakaran membabitkan 32 hektar kawasan hutan di Bypass Sebana Cove-Punggai dekat sini pada Jumaat yang terbakar sejak Ahad.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, kebakaran tersebut dapat dikawal sepenuhnya pada jam 8 malam selepas operasi melibatkan pelbagai pihak dilakukan yang mengambil masa tujuh hari.
"Keadaan ini memakan masa agak lama berikutan kedudukan tompok-tompok api adalah berdekatan antara satu sama lain iaitu kira-kira 200 meter.
"Pihak bomba juga terpaksa mengharungi kawasan paya ketika operasi pemadaman kebakaran dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pada ketika ini, sekumpulan anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) masih beroperasi dengan skala kecil di kawasan kebakaran.
Jelasnya, ini bertujuan memastikan bara api dapat dipadam sepenuhnya kerana kawasan berkenaan dilaporkan berdepan cuaca panas kerana lebih seminggu tidak hujan selain tiupan angin yang tidak menentu juga menyukarkan operasi pemadaman api.
Terdahulu, anggota BBP Sebana Cove, BBP Punggai dan BBP Kota Tinggi dengan tiga jentera terbabit dalam operasi pemadaman kebakaran menerusi darat.
Sementara pesawat AW139 (BMB 07) dari Pangkalan Udara Bertam bersama tujuh kru dan pesawat Bombadier Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari Lapang Terbang Subang bersama tujuh kru turut membantu operasi pemadaman api.
Pelbagai teknik digunakan dan operasi pemadaman dibahagi kepada lima sektor iaitu A,B,C, D dan E.
Pihak Bomba juga menggunakan peralatan pemadaman kebakaran hutan milik Jabatan Bomba GS Mark III untuk membuat penyekatan kebakaran daripada merebak dan proses 'total flooding'.
Akibat kebakaran kawasan sekitarnya turut diselubungi asap beberapa hari lalu hingga mengehadkan penglihatan iaitu hanya dua kilometer.