GOMBAK - Kerajaan Selangor sedang menyiapkan Belanjawan Selangor 2024 yang akan dibentangkan 10 November ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penumpuan belanjawan kali ini seiring dengan kerajaan pusat ke arah pemulihan ekonomi.
Menurutnya, menerusi Belanjawan 2024 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menunjukkan banyak perkara baharu yang telah dipertingkatkan.
"Buat pertama kali dalam sejarah, ada peruntukan khas untuk kampung-kampung membabitkan peruntukan RM100,000 bagi setiap kampung daripada Kementerian Desa dan Wilayah yang akan diselaraskan di peringkat kerajaan negeri," katanya pada Sambutan Maulidur Rasul di Kampung Sungai Tua Baharu pada Sabtu.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, peperangan yang berlaku di banyak tempat telah memberi kesan kepada kedudukan Ringgit yang kelihatan melemah berbanding dollar.
Bagaimanapun beliau yakin pelan yang dibuat oleh kerajaan pusat dan negeri akan memberikan manfaat kepada pembangunan ekonomi.
"Dalam masa setahun lagi kita akan berada di landasan yang betul kerana ketika ini hala tuju ekonomi Madani bertujuan meningkatkan pendapatan rakyat.
"Ini adalah perkara segera yang dilakukan, walaupun kurang popular tetapi perlu dilakukan," katanya.