Miles of Smiles salur barangan perubatan RM7 juta ke Gaza

Iklan
Mohd Johari (kanan) dan Ahmad Safuan bersama sebahagian barangan perubatan yang disumbangkan MCM untuk dihantar ke Gaza.

SHAH ALAM - Gabungan badan bukan kerajaan (NGO), Miles of Smiles yang turut disertai Muslim Care Malaysia (MCM) menyalurkan bantuan pelbagai jenis peralatan perubatan dengan nilai keseluruhan mencecah RM7 juta kepada rakyat Palestin di Gaza.

Barangan perubatan seperti kerusi roda, katil, pembalut luka, lampin pakai buang, tongkat dan lain-lain sudah siap sedia dibeli serta dikumpulkan, kini diletakkan dalam sebuah gudang di Madinaty, pinggir bandar Kaherah, Mesir.

Iklan
Iklan

Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail berkata, pihaknya bersyukur kerana sejumlah RM500,000 sumbangan rakyat Malaysia turut dimanfaatkan untuk tujuan tersebut.

(Dari kiri) Tuan Asri, Mohd Johari dan Ahmad Safuan melihat sebahagian barangan perubatan yang disumbangkan MCM untuk dihantar ke Gaza.

"MCM sudah banyak kali bekerjasama dengan Miles of Smiles dan yakin semua barangan ini akan sampai kepada rakyat Palestin di Gaza yang memerlukannya, cuma cepat atau lambat tidak tahu kerana ia bergantung kepada banyak faktor dan di luar bidang kuasa kami.

Iklan

"Kami datang ke sini (Mesir) untuk sama-sama menguruskan pembelian barangan perubatan ini dan akan memastikan semuanya sampai ke Gaza, insya-ALLAH," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sehingga 20 Oktober, lintasan Rafah yang menjadi satu-satunya pintu masuk ke Gaza melalui Mesir, masih belum dibuka susulan 14 hari perang antara Palestin dan Israel masih berlarutan.

Iklan

Lebih 4,000 rakyat Palestin terbunuh dan ribuan yang lain cedera sejak tercetusnya perang pada 7 Oktober lalu, bagaimanapun ia bukan alasan untuk MCM dan Miles of Smiles berpeluk tubuh.

Mohd Johari memaklumkan, beliau dan dua lagi anggota misi iaitu Setiausaha Agungnya, Ahmad Safuan Ujar serta Exco Media, Asri Hussein akan turut menyertai konvoi Miles of Smiles untuk memasuki Gaza sekiranya keadaan mengizinkan.

Pengarah Miles of Smiles, Dr Essam Mustafe turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada MCM dan rakyat Malaysia yang prihatin serta menghulurkan sumbangan untuk membantu warga Palestin.

Mohd Johari (tiga dari kiri) dan Dr Essam (tiga dari kanan) mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana pantas menghulurkan sumbangan bagi membantu rakyat Palestin.

Menurutnya, Miles of Smiles dianggotai NGO dari pelbagai negara termasuk Turki, Kuwait, Afrika Selatan, Jordan, Mesir dan United Kingdom.

"Daripada AS$1.5 juta (RM7 juta) yang berjaya kita kumpulkan melalui gabungan NGO ini, lebih 50 peratus sudah dibelanjakan untuk membeli barangan perubatan.

"Ada lagi yang belum dibeli kerana hari ini (Jumaat) kedai tutup dan stok tidak mencukupi," ujarnya.

Antara barangan perubatan dibeli gabungan NGO Miles of Smiles yang siap sedia untuk dihantar ke Gaza.

Sementara itu, ratusan lori berisi muatan barangan makanan, perubatan dan keperluan harian beratur sejak lebih seminggu lalu bagi menunggu giliran di laluan ke lintasan Rafah untuk memasuki Gaza.

Sebelum ini, pihak berkuasa Mesir memaklumkan akan membenarkan 20 lori masuk ke Gaza pada 20 Oktober, namun ia tidak berlaku.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Mesir berkata, pihaknya memerlukan masa untuk membaiki jalan rosak akibat dibom tentera Israel dan mengalihkan kepingan konkrit yang menjadi perisai keselamatan bagi melindungi kompleks imigresen di Rafah.