PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) iaitu agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia telah melaksanakan inisiatif Konvensyen Kerjaya Wanita bagi membina semula bakat dan menambah baik kemahiran sedia ada setelah mereka tidak lagi bekerja dalam tempoh yang lama.
Naib Presidennya, Mahuran Saro Sariki berkata, ia bertepatan dengan hasrat kerajaan yang ingin mencapai aspirasi sebanyak 60 peratus penglibatan tenaga kerja wanita dalam negara.
Menurutnya, pihak majikan juga tidak mahu mengambil pekerja wanita yang bercuti dalam tempoh yang terlalu lama.
"Terdapat 28 syarikat yang membuka pameran di ruangan kerjaya untuk berinteraksi secara terus kepada pengunjung.
"Kita mempunyai hampir 15 juta tenaga buruh aktif dan daripada jumlah tersebut sebanyak lapan peratus adalah wanita, namun terdapat sebahagian besar terpaksa berhenti kerja selama beberapa tahun sedangkan masing-masing mempunyai kerjaya yang kukuh.
Mereka menghadapi kesukaran untuk kembali bekerja kerana kekurangan kemahiran dan tidak mengetahui keperluan industri serta ditambah pula majikan tidak mahu mengambil wanita berusia bekerja semula,” katanya dalam forum bertajuk ‘Mewujudkan sistem kerja yang kondusif untuk menggalakkan pertumbuhan bakat wanita’ di Hotel Avante, Bandar Utama pada Sabtu.
Turut hadir sebagai panel adalah Ketua Pegawai Eksekutif LeadWomen, Anne Abraham; Ketua Pegawai Eksekutif Forest Interactive, Johary Mustapha; Pengasas Kiddocare, Nadira Yusoff dan Ketua Pegawai Strategi Seek Asia, Michele Manigart.
Mengulas lanjut, menurut Mahuran, antara solusi terbaik adalah melakukan kerjasama dengan beberapa syarikat daripada pelbagai bidang khususnya membantu wanita kembali bangkit membina kehidupan.
Ujarnya, dengan penguasaan komunikasi berkesan, khidmat nasihat, pembinaan rangkaian perhubungan bersama pemain industri dan mengikuti beberapa program kemahiran dapat membantu mereka kembali yakin untuk memulakan kerjaya.
"Masalah kekurangan fasiliti menyebabkan kadar penurunan tenaga kerja aktif wanita di negara ini berkurangan sehingga memberi kesan terhadap kesihatan mental mereka.
"Inisiatif yang dilaksanakan ini adalah bagi mendedahkan wanita dengan ilmu baru supaya mereka terus maju dalam karier masing-masing,”jelasnya.
Dalam pada itu, menurut pekerja swasta, Sarah Seth, 42, berkata konvensyen anjuran TalentCorp telah membantunya mendapatkan semula kerjaya sebagai perunding insurans di syarikat korporat setelah hampir 12 tahun tidak bekerja.
Beliau yang juga bekas jurutera berkata, dengan pelbagai program yang dirangka oleh agensi tersebut dapat membantu mengembalikan semula keyakinan diri bagi memenuhi keperluan industri.
"Ini merupakan seminar kali kedua dan sepanjang mengikuti kursus bersama TalentCorp banyak penambahbaikan yang saya pelajari terutama menulis semula resume dan mengatur penampilan diri termasuk strategi untuk kembali semula ke bidang pekerjaan,” katanya.
Bagi, pekerja bebas, Maria Ahmad Fuad, 43, berkata, seminar tersebut membantu membina rangkaian industri bersama beberapa syarikat teknologi yang kini mempunyai permintaan tenaga kerja terhadap wanita.
"Saya mendapat banyak ilmu baru dan membina beberapa hubungan bersama pemain industri di konvensyen kali ini. Setakat ini seminar yang diadakan cukup bagus untuk wanita bekerjaya terus maju kehadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Unit Amanah Kewangan, Yit Mun, 40, berpendapat, konvensyen itu perlu menambah bilangan kerjasama dengan syarikat swasta dan pemain industri bagi membantu wanita kembali memacu pembangunan ekonomi negara. Jelasnya, ia penting bagi memastikan pemerkasaan pengetahuan dan kemahiran kerjaya mampu dikuasai semula oleh wanita.
"Seminar ini sangat bagus membantu wanita berinteraksi bersama pemain industri daripada pelbagai bidang termasuk keusahawanan,” katanya.