SHAH ALAM - Program #QuranHour For Gaza yang mengangkat surah al-Insan membawa perbezaan dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, ia berlainan kerana tidak dilakukan dalam bentuk demonstrasi tetapi program refleksi bagi menghayati perjuangan sebenar untuk membantu saudara di Palestin.
"Kita perlu mencari solusi sebenar, masalah ini berterusan kerana ada pemimpin Yahudi yang buta hati hingga sanggup bertindak kejam dan ramai pemimpin Islam di sekelilingnya juga sama kerana membiarkan sahaja kekejaman itu berlaku.
"Kita kena didik semula manusia hingga mampu menjadi pemimpin yang lebih baik dan akan memikul tanggungjawab untuk berjuang.
"Kini kita lihat dunia tidak mengambil tanggungjawab ini kerana membiarkan dua juta orang dalam tempat yang sempit itu (Gaza) selesaikan masalah itu sendiri,” katanya ketika program 'Assalamualaikum' yang disiarkan secara langsung di TV Alhijrah pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, WUIF dengan kerjasama MyAqsa Defenders akan menganjurkan Program #QuranHour For Gaza pada Ahad bagi mengembalikan fokus umat Islam dan bukan Islam memahami nilai surah dalam al-Quran mengenai isu kemanusiaan yang berlaku antara Palestin dengan Israel.
ARTIKEL BERKAITAN:#QuranHour For Gaza Ahad ini
ARTIKEL BERKAITAN: #QuranHour For Gaza: Peranan media sebar kesedaran solidariti
Justeru, Hussamuddin menyeru orang ramai hadir bersama-sama untuk bermuhasabah diri dalam memahami lebih terperinci makna surah al-Insan dan menjadikannya sebagai panduan kehidupan.
Dalam pada itu, Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, masyarakat perlu memiliki sifat abrar sepertimana yang disebut dalam surah al-Insan jika mahu memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
"Abrar adalah orang yang dianggap tinggi kedudukannya dalam syurga, antaranya mereka yang sentiasa bersyukur, memberi bantuan kepada orang dalam kesusahan dan sentiasa beribadah kepada ALLAH.
"Kita lihat semula pemilihan kriteria Briged Al-Qassam yang dilantik ketika pembukaan kota Makkah dahulu, di mana calon perlu konsisten mendapat pengesahan daripada imam masjid membuktikan mereka hadir solat jemaah Subuh selama tiga bulan berturut-turut di masjid tempatan,” jelasnya.
Tambah beliau, menerusi peristiwa itu dapat dilihat sama ada masyarakat kini mampu atau tidak untuk melakukan hal yang sama dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Justeru, katanya, program #QuranHour For Gaza itu akan membantu umat Islam membuat persediaan lebih mendalam berkaitan nilai kemanusiaan mengikut fahaman yang dibawa dalam al-Quran seperti surah al-Insan.