KUALA LUMPUR mengakhiri penantian selama 12 tahun apabila menjuarai Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2023 selepas menewaskan Melaka 4-2 menerusi penentuan penalti shoot-out sebentar tadi.
Dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu, Kuala Lumpur bangkit dua kali untuk mengikat Melaka 2-2 sehingga tamat masa sebenar sebelum pemenang ditentukan menerusi penalti shoot-out.
Melaka terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Amirullah Zainol seawal minit ke-12 sebelum Kuala Lumpur menyamakan kedudukan melalui kapten, Zulpidaus Mizun pada minit ke-28.
Melaka yang dibimbing Nor Ikhram Sulaiman kembali mendahului menerusi gol kedua peribadi Amirullah hasil gerakan cantik daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-33.
Kuala Lumpur kendalian I Vikneswaran sekali lagi bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2 hasil jaringan padang Sriraam Vikneswaran pada minit ke-47.
Serangan bertali arus kedua-dua pasukan masih gagal menghasilkan gol seterusnya sehingga minit ke-60 menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti shoot-out.
Menerusi penentuan penalti shoot-out, Kuala Lumpur ternyata lebih unggul untuk menoktahkan kemenangan 4-2, sekali gus menjulang trofi buat kali ke-19.
Terdahulu, Sabah mencipta kejutan apabila muncul juara kategori wanita selepas menewaskan penyandang juara, Selangor 2-1.
Selangor pada awalnya dilihat berada di landasan tepat untuk menjulang kejuaraan buat kali keempat apabila menerusi Ellya Amanina Elias meledak gol seawal minit keempat.
Bagaimanapun, Sabah bangkit dengan dua gol menerusi jaringan padang Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun pada minit ke-18 dan Cyrachilld Rojos (38).