PEKAN - Majlis Daerah Pekan (MDP) secara rasmi diisytihar sebagai Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja berkuat kuasa pada Sabtu.
Status baharu pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Al-Sultan Abdullah bertitah, pemasyhuran Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja satu sejarah dan amat bermakna buat seluruh rakyat Pekan dan negeri Pahang.
Titah Seri Paduka Baginda, setelah 35 tahun berlalu, Majlis Daerah Pekan akhirnya diwartakan sebagai sebuah perbandaran dan yang paling bermakna tarikh pemasyhuran itu sama dengan hari keputeraannya.
"Kemunculan bangunan dengan reka bentuk dan seni bina moden tidak sepatutnya menjadi faktor kepada kepupusan nilai seni dan warisan budaya tempatan sedia ada," titah Seri Paduka Baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam titah diraja sempena Majlis Pemasyhuran Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja di sini pada Sabtu.
Berangkat sama ke majlis itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Al-Sultan Abdullah bertitah, pembangunan Pekan Sentral yang akan menempatkan pusat perniagaan, pasar baharu bakal memberi impak besar kepada masyarakat setempat.
"Selain itu, saya telah dimaklumkan bandar Pekan lama juga akan melalui program baik pulih terutama dalam mengindah dan mencantikkan persekitaran kawasannya.
"Pembangunan yang lebih mampan bersama usaha menjamin kelestarian alam sekitar dengan mengekalkan elemen tradisional dan warisan seni bina tempatan bakal menjadikan bandar Pekan sebagai bandar unggul dan berupaya menjadi antara destinasi utama negara," titahnya.
Sementara itu, Seri Paduka Baginda dalam titahnya turut mengimbau sejarah bandar Pekan yang dikatakan telah wujud sejak abad ke-17.
"Menurut ceritanya, Pekan mendapat nama sempena bunga pekan yang banyak tumbuh di tebing Sungai Pahang.
Jelas Al-Sultan Abdullah lagi, Pekan menjadi sebuah daerah pada 1889 dan ibu negeri Pahang sehingga tahun 1898 sebelum beralih ke Kuala Lipis dan Kuantan.
"Bermula tahun 1924, Majlis Bandaran Pekan telah ditubuhkan sebelum menjadi Lembaga Bandaran Pekan pada November 1968.
"Pada Julai 1988 ia dinaik taraf menjadi Majlis Daerah Pekan sebelum diwartakan sebagai Majlis Perbandaran Pekan pada 30 Julai lalu dan tahun hadapan majlis ini bakal memasuki usia 100 tahun," titah Seri Paduka Baginda.