KAPTEN Afrika Selatan, Siya Kolisi memuji semangat pasukannya selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan England, 16-15 dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Ragbi di Stade de France, awal pagi Ahad.
Kemenangan tersebut menyaksikan Springbok akan menempah perhitungan dengan New Zealand dalam aksi final pada minggu depan.
Kolisi berkata, dia bangga dengan semangat tidak mudah menyerah yang dipamerkan semua pemain Afrika Selatan untuk menewaskan England yang tampil dengan persembahan berkualiti.
"Syabas kepada semua pemain dan saya benar-benar berbangga dengan pertarungan yang ditunjukkan," katanya.
Dalam pada itu, jurulatih Springbok, Jacques Nienaber memberikan penghormatan kepada pemain England yang membuktikan kemampuan dalam aksi sengit itu.
"England cemerlang pada malam ini dan kami terpaksa bekerja keras. Mereka mempunyai rancangan taktikal yang baik, meletakkan kami di bawah tekanan.
"Kami perlu menambah baik dari segi itu jika New Zealand menggunakan taktik yang sama. Ia mengambil sedikit masa untuk mengatasinya.
"Itulah kekuatan pasukan ini. Walaupun kami tidak bermain dengan baik, kami mencari jalan untuk mendapatkan kemenangan. Ia mengambil masa 70 minit untuk muncul dalam permainan. Mereka enggan berputus asa, berjuang hingga ke detik terakhir," katanya.