Penerokaan haram: Tindakan berlandaskan 'rule of law'

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di tapak pencerobohan tanah di Sungai Ichat ketika lawatannya september lalu. Gambar kecil: Sallehuddin Ishak

KUANTAN - Kerajaan Pahang menegaskan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti penerokaan haram di kawasan tadahan air Sungai Ichat, Kuala Terla di Cameron Highlands mematuhi dan berlandaskan perundangan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, tindakan tersebut juga diambil bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat terus dipelihara seperti titah Yang di-Pertuan Agong AI-SuItan AbduIIah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 7 September lalu.

Iklan
Iklan

"Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 14 Oktober lalu memutuskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan di Cameron Highlands.

"Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ser Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 9 Disember lalu juga bersetuju supaya Op Lestari 2 diteruskan dan penempatan pasukan ATM dan PGA ke daerah Cameron Highlands bermula 16 Disember 2019," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, langkah itu bagi membantu mengekang aktiviti pencerobohan serta menunjukkan keberadaan anggota keselamatan.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang pada 13 Mac lalu meluluskan pewartaan kawasan terbabit seluas 121.12 hektar sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat.

Iklan

"Aktiviti kawalan termasuk penjagaan dan penanaman pokok hutan bagi fasa satu telah dilaksanakan oleh Pejabat Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sebaik sahaja tindakan penguatkuasaan selesai," katanya.

Sallehuddin berkata, Loji Air Kuala Terla penting kerana menjadi sumber air kepada lebih 70 peratus keperluan air bersih di Cameron Highlands yang melibatkan 8,332 akaun pengguna.

"Loji ini mempunyai ‘design flow capacity’ air mentah sebanyak 855m3/jam tetapi buat masa ini, Sungai Terla hanya mampu menyediakan 580m3/jam dan kadangkala berkurangan.

"Aliran air mentah kini sudah tidak mampu menampung keperluan semasa dan pembangunan akan datang di Cameron Highlands justeru, untuk meningkatkan lagi jumlah aliran air mentah maka air mentah dari Sungai Ichat amat diperlukan," katanya.

Katanya, berdasarkan pemantauan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) kualiti air di Sungai Ichat mula pulih selepas tindakan penguatkuasaan diambil dan kerja-kerja pembersihan dilakukan hampir setiap minggu oleh agensi berkenaan.

"Berdasarkan perancangan semasa, Paip bercadang untuk melakukan pengalihan Sungai Ichat untuk dicantumkan dengan Sungai Terla bermula suku tahun kedua tahun 2020 seperti reka bentuk asal pembinaan loji air Kuala Terla," katanya.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan itu melibatkan 11 penerokaan haram bagi peringkat pertama dan 37 penerokaan bagi peringkat kedua melibatkan kawasan seluas 121 hektar termasuk 24 hektar bagi peringkat pertama dan 97 hektar bagi peringkat kedua.

"Tindakan diambil di bawah peruntukan Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara 1965 kerana menduduki tanah kerajaan tanpa izin sejak tahun 2009.

"Notis mengosongkan dikeluarkan sejak 19 Ogos lalu tetapi aktiviti penerokaan tanpa izin masih diteruskan," katanya.

Sallehuddin berkata, notis selanjutnya bagi peringkat pertama dikeluarkan pada 18 Februari lalu dan tindakan penguatkuasaan peringkat pertama melibatkan 11 kawasan penerokaan dilaksanakan bermula 25 Februari sehingga 19 Mac lalu.

Katanya, notis pengosongan peringkat kedua kepada baki 37 penerokaan tanpa izin dikeluarkan pada 14 Mac lalu.