SHAH ALAM - Program #QuranHour For Gaza dilihat berjaya dalam memberi pendekatan emosi yang tinggi terhadap apa yang berlaku di Palestin dan sebagai refleksi tentang mesej yang ingin disampaikan oleh ALLAH SWT.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, melihat kepada krisis di Palestin yang tidak berkesudahan, ia memberikan mesej bahawa solusinya adalah melalui kesepaduan dan tawakal kepada yang Maha Esa melalui baca, amal serta faham al-Quran.
"Apa berlaku di Palestin, penindasan umat Islam juga berlaku di negara lain dan mereka membunuh sesama sendiri kerana tiada nilai kemanusiaan.
"Banyak demonstrasi dan derma dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membantu rakyat Palestin, namun ia tidak memberi impak jangka panjang. Palestin terus dihancurkan oleh rejim Zionis yang tidak berperikemanusiaan.
"Sebab itu saya melihat kita perlu gemakan Surah Al-Insan ke dalam hati dan mempersiapkan anak cucu untuk kita untuk melawan Israel. Sebenarnya Gaza dan Israel wujud dalam diri, keluarga, organisasi dan negara,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Ahad.
Program #Quranhour For Gaza itu adalah anjuran bersama WUIF dan MyAqsa Defenders dalam mengangkat nilai kemanusiaan sejagat berpandukan solusi Surah Al-Insan dan tujuh Surah Musabbihat sebagai panduan perjuangan.
Ia turut menampilkan Qari Imam Palestin, Shaykh Rami As-Sousi dan pentadabbur iaitu Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail; Timbalan Dekan Fakuti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi dan Pengerusi Serantau Muslim merangkap Ahli Gabungan MyAqsa Defenders, Mohd Hakim Mohd Nor.
Sesi diakhiri dengan bacaan doa oleh pensyarah USIM, Mohd Shamsul Hakim Abd Samad.
Turut hadir, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dan selebriti terkenal tanah air, Norman Hakim serta isterinya, Memey Suhaiza.
Tambah Hussamuddin, program berkenaan sangat berjaya walaupun hanya dirancang dalam tempoh yang singkat.
"Sasaran awal kami hanya 300 ke 400 orang sahaja tapi jumlah kehadiran kira-kira 1,000 orang, menunjukkan solidariti dan kebersamaan mereka terhadap rakyat Palestin.
"Isu untuk selamatkan Palestin bukan balas dendam tetapi mencapai kemenangan. Kita perlu selamatkan kemanusiaan dalam diri dan keluarga, terutamanya ketua keluarga dan pemimpin. Justeru, kita perlu kembali kepada al-Quran sebagai solusi kehidupan.
"Dengan bermuhasabah diri, kita bina rakyat yang kuat untuk membina kerajaan yang kuat. Kita perlu pastikan mempunyai kerajaan yang dipimpin oleh orang mempunyai nilai abrar dan berpegang teguh dengan al-Quran dan hadis,” ujarnya.