SHAH ALAM - Program #QuranHour For Gaza tetap berlangsung dengan jayanya walaupun berdepan dengan cabaran apabila akses ‘live’ disekat Facebook sebaik sahaja program itu berlangsung selama 10 minit.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, pihaknya telah menjangkakan perkara itu, namun bersyukur kerana mempunyai alternatif lain dengan menggunakan saluran YouTube.
"Saya melihatnya sebagai cabaran dalam kita menyebarkan maklumat dan solidariti terhadap saudara kita di Gaza, Palestin.
"Pendekatan program ini sebenarnya lebih kepada mendidik dan panduan kita nak bawa isu Gaza ini ke arah keamanan serta kedamaian, bukannya melalui kekerasan. Alhamdulillah, ia tetap berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai media,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Ahad.
Program #QuranHour For Gaza itu adalah anjuran bersama WUIF dan MyAqsa Defenders dalam mengangkat nilai kemanusiaan sejagat berpandukan solusi Surah Al-Insan dan tujuh Surah Musabbihat sebagai panduan perjuangan.
Tambah Marhaini, program berkenaan mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan kira-kira 1,000 orang.
"Walaupun perancangan kita hanya singkat tapi kehadirannya di luar jangkaan. Ada yang datang dari Kelantan, Johor, Perak dan Melaka untuk bersama-sama baca serta bertadabbur al-Quran selama satu jam.
"Kita perlu reset bahawa perjuangan di Gaza atau luar Gaza bukanlah bertujuan membalas dendam, tetapi ia mengenai janji kemenangan yang ada di dalam surah Al-Isra’ ayat 4 hingga 6.
"Apa yang berlaku hari ini, manusia terhakis nilai kemanusiaan kerana jiwanya gelap dan surah Al-Insan memberi panduan untuk kita reset sebagai seorang manusia sebenar,” jelasnya.